KUALA LUMPUR – Seramai 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya yang ditempatkan sementara di di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini telah dibawa keluar ke lokasi penempatan yang disediakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, NGO yang terlibat iaitu Kaladan dari Ampang dan kesemua pelarian berkenaan mula meninggalkan perkarangan IPK Kuala Lumpur sekitar pukul 4 petang tadi.
“Kesemua pelarian berjumlah 113 orang telah bergerak keluar dari IPK Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fadil, hasil pemeriksaan awal mendapati, kesemua pelarian terbabit berusia di antara satu bulan hingga 60 tahun.
Terdahulu media melaporkan, kesemua pelarian yang ‘berkampung’ di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kini ditempatkan sementara di Dataran Wira, IPK Kuala Lumpur.
Fadil dilaporkan berkata, hasil semakan dokumentasi ke atas warga Rohingya yang terlibat mendapati mereka mempunyai dokumen sah iaitu kad pelarian UNHCR.
Jelas beliau, seramai 113 pelarian itu melibatkan seorang warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Manakala baki 110 pelarian Rohingya terdiri daripada 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
Proses dokumentasi telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil pejabat UNHCR. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
113 pelarian termasuk warga Rohingya ditempatkan di IPK Kuala Lumpur
















