Penguat kuasa JIM melakukan pemeriksaan dalam operasi di premis rumah kedai di Kulai, hari ini.

KULAI – Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri semasa diserbu pihak imigresen gagal apabila 50 ditahan dalam operasi di premis rumah kedai di sini hari ini.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Sapu pukul 12.30 tengah malam itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal PATI.

“Operasi yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan. Pemeriksaan menemukan beberapa individu bertindak menyembunyikan diri bawah katil dan di ruang sempit premis dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

“Walau bagaimanapun, tindakan tersebut gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kesemua individu terbabit hasil pemeriksaan menyeluruh di setiap premis sasaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, dalam operasi itu seramai 50 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Cubaan PATI menyembunyikan diri gagal apabila berjaya diberkas penguat kuasa.

Menurutnya, mereka terdiri daripada lapan lelaki dewasa warganegara Indonesia, 31 lelaki dewasa Myanmar, dua lelaki dewasa Bangladesh, dua wanita dewasa Indonesia, enam wanita dewasa Myanmar dan seorang wanita dewasa Vietnam.

Hasil pemeriksaan mendapati PATI terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 40 tahun.

Semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

“Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani, JIM Negeri Johor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewangan dan memastikan keselamatan serta intergriti negara terus terpelihara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast