Suasana undi awal di IPD Kuala Pilah pagi ini.

KUALA PILAH – Dua calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah dan Seri Menanti meluangkan masa meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah pagi ini yang disifatkan berlangsung dalam keadaan teratur, lancar dan terkawal.

Calon PH DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, beliau berpuas hati melihat kelancaran proses pengundian awal melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia.

“Perjalanan pengundian awal pagi ini berjalan dengan baik. Anggota keselamatan kita menjalankan tanggungjawab mereka dengan begitu teratur.

“Tempoh pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dan setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika meninjau pusat pengundian awal di sini hari ini.

Calon PH DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim

Menurut beliau, seramai 247 pengundi awal dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal di pusat berkenaan.

Noorzunita berkata, proses yang teratur sejak awal pagi mencerminkan komitmen tinggi anggota keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sementara itu, calon PH DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa berkata, beliau turut hadir seawal pagi bagi melihat sendiri perjalanan pengundian awal di sini.

Katanya, sebaik pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi, anggota polis sudah mula beratur untuk membuat semakan nama sebelum mengambil pas dan memasuki saluran mengundi.

“Apabila saya tiba sekitar pukul 8 pagi, anggota keselamatan telah pun beratur membuat semakan nama sebelum masuk ke saluran mengundi.

“Setakat yang saya lihat, perjalanan pengundian sangat teratur dan lancar. Malah saya difahamkan proses ini berkemungkinan selesai lebih awal sekiranya semua pengundi hadir mengikut jadual,” ujarnya.

Beliau berkata, suasana tenang sepanjang pengundian awal memberi keyakinan bahawa keseluruhan proses pilihan raya di Kuala Pilah akan berlangsung dalam keadaan baik sehingga hari pengundian Sabtu ini.

calon PH DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa

“Saya yakin anggota keselamatan mampu membuat pilihan yang terbaik berdasarkan pertimbangan mereka terhadap masa depan negeri ini.

“Kita doakan segala urusan pada hari ini dipermudahkan dan proses pengundian berjalan lancar sehingga selesai,” katanya.

Pengundian awal hari ini melibatkan anggota polis serta pasangan yang layak mengundi sebelum hari pengundian rasmi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu.

Secara keseluruhan, pengundian awal berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri, dengan proses pengundian bermula pada pukul 8 pagi sebelum pusat-pusat mengundi ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast