Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa

KUALA PILAH –  Pendekatan berkempen dari rumah ke rumah memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa memahami sendiri isu sebenar yang dihadapi penduduk.

Ia terutama membabitkan kebajikan dan keperluan golongan warga emas.

Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, sambutan pengundi terhadap kehadirannya amat menggalakkan dengan masih ramai penduduk di beberapa kampung mahu bertemu dan berkenalan secara lebih dekat.

“Setakat ini penerimaan pengundi sangat baik. Saya masih meneruskan kempen dari rumah ke rumah kerana masih ada beberapa kawasan kampung yang penduduknya mahu berkenalan dengan calon.

“Jadi saya terus turun padang untuk memperkenalkan diri dan mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah hari ini.

Menurut beliau, kebanyakan aduan yang diterima tidak berkisar kepada isu politik, sebaliknya melibatkan kehidupan harian penduduk yang memerlukan perhatian segera.

Katanya, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah keperluan membaiki rumah, membaik pulih bumbung, bantuan perubatan, bekalan ubat-ubatan serta keperluan pakai buang bagi warga emas dan pesakit terlantar.

“Masih ada penduduk yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah, selain bantuan berkaitan kesihatan dan keperluan harian warga emas.

“Perkara seperti ini perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka,” katanya.

Kamarul berkata, beliau turut menerima banyak luahan daripada keluarga yang menjaga ibu bapa uzur termasuk anak-anak yang sanggup berhenti kerja di bandar demi memberi sepenuh perhatian kepada orang tua mereka.

Menurutnya, pengorbanan golongan itu wajar diberi perhatian melalui dasar atau insentif yang dapat membantu meringankan beban mereka.

“Ada anak-anak yang sanggup berhenti kerja dan pulang ke kampung semata-mata untuk menjaga ibu atau bapa yang sedang sakit.

“Saya melihat golongan ini juga memerlukan perhatian daripada kerajaan. Mungkin sudah tiba masanya kita meneliti bentuk insentif atau bantuan yang boleh diberikan kepada mereka kerana pengorbanan mereka sangat besar,” katanya.

Beliau berkata, selain mendengar sendiri masalah penduduk, kempen rumah ke rumah turut dimanfaatkan bagi menjelaskan tawaran yang dibawa PH kepada pengundi menjelang hari pengundian.

Katanya, manifesto PH yang diumumkan baru-baru ini merupakan kesinambungan kepada pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2018.

“Kita yakin tawaran yang dibawa mampu dilaksanakan kerana ia merupakan kesinambungan kepada usaha yang telah dimulakan sebelum ini.

“Saya berharap pengundi dapat memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan agar agenda kebajikan dan pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast