BERA – Seorang lelaki ditahan bersama lebih 500 gram pelbagai jenis dadah bersama wang tunai hampir RM100,000 di kawasan Felda Tembangau 1, Kemayan, di sini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, lelaki itu ditahan ketika menaiki motosikal di kawasan tersebut kira-kira jam 1 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap suspek menemui dadah jenis syabu (367.55 gram), pil erimin 5 (27.10 gram) dan ganja (138.17 gram) bernilai anggaran RM21,502.
“Polis kemudian turut menyita motosikal milik suspek dianggarkan bernilai RM25,000 selain merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM97,000 dipercayai daripada kegiatan mengedar dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zulkiflee, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati, dia positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.
Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah narkotik.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Zulkiflee menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dimana mereka yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah akan dikenakan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette
















