Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Ceramah Rapat Rakyat Port Dickson sempena kempen Pilhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Pengundi Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak tertipu dengan kerjasama yang kononnya terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun membentuk pakatan apabila berbahagi kerusi yang ditandingi, namun kedua-dua parti itu melancarkan manifesto pililhan raya yang berbeza.

Menyifatkan perkara itu sebagai aneh, Muhyiddin berkata, ia boleh menimbulkan percanggahan berkenaan manifesto parti mana yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri, Sabtu ini.

“Barisan Nasional keluar manifesto, kemudian selang beberapa hari, Perikatan Nasional pun keluar manifesto sendiri.

“Dalam satu gabungan, ada dua manifesto. Mana satu yang mereka nak pakai? Kita tak tahu. Jadi dua-dua tak boleh pakai.

“Sebabnya yang satu pihak kata dia nak buat ini, satu lagi pihak kata nak buat itu, walaupun mereka dalam satu gabungan

“Mereka gabung sementara saja, `cium mulut’ sementara saja.

“Tapi bila nak melaksanakan hal seperti manifesto ini, bukan satu, tapi mereka buat dua sekali.

“Jadi kalau dua itu (manifesto) sah-sahlah, mereka tak boleh nak percaya antara satu sama lain.

“Jadi rakyat di Negeri Sembilan jangan ditipu oleh mereka ini,” katanya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Ceramah Rapat Rakyat Port Dickson sempena kempen Pilhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kampung Sawah Sunggala, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Rapat Rakyat di PDM Bersatu Bandar Sunggala, di sini malam ini.

Sementara itu, Muhyiddin meminta rakyat Negeri Sembilan supaya tidak ragu-ragu dengan kemampuan Bersatu untuk mentadbir negeri itu sekiranya diberikan mandat pada Sabtu ini.

Menurut beliau, Bersatu dibarisi ramai pemimpin yang memiliki pengalaman dalam mentadbir urus kerajaan negeri dengan cemerlang termasuk beliau sendiri yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama kira-kira 10 tahun.

Selain itu, ujarnya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga pernah menjadi Menteri Besar Selangor, manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah menjadi Menteri Besar Perak.

Dalam masa sama, ujarnya, kepimpinan Bersatu turut dibarisi bekas-bekas menteri dan timbalan menteri yang pastinya mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam mentadbir kerajaan negeri.

“Jangan ragu-ragu tentang kemampuan dan kebolehan Bersatu, kita boleh menguruskan bila-bila masa sahaja Negeri Sembilan ini.

“Dengan pengalaman yang ada, kesediaan dan komitmen kita, tokoh-tokoh yang kita letakkan sebagai calon, semuanya ada kelayakan dan kelulusan serta boleh mengurus tadbir negeri seperti Negeri Sembilan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast