Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun meninjau pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Tan Sri Mohammad Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu ini boleh mencecah sekitar 72 hingga 75 peratus.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, unjuran itu berdasarkan kehangatan suasana sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berharap para pengundi PRN Negeri Sembilan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih pada Sabtu ini.

“Berdasarkan kepada suasana berkempen yang sengit di Negeri Sembilan, kita percaya penyokong-penyokong akan ramai keluar pengundi.

“Kita menjangkakan kadar keluar mengundi pada Sabtu ini sekitar 72 hingga 75 peratus.

“Insya-Allah, kita sama-sama berdoa dan berharap supaya semua pengundi dapat keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun meninjau pusat mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundia awal PRN Negeri Sembilan ke-16 di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dikcson di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramlan berkata, pihaknya juga menjangkakan kadar keluar mengundi awal PRN Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini boleh mencapai sehingga 90 peratus.

Katanya, sasaran tinggi itu juga melihat kepada kadar peratusan pengundi awal pada PRN Johor awal bulan ini yang mencapai 94 peratus.

Jelasnya, bagi PRN Negeri Sembilan, seramai 16,467 pengundi awal akan menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih masing-masing seramai 11,293 anggota polis dan pasangan serta 5,174 anggota tentera dan pasangan.

Ujarnya, jumlah itu tidak termasuk seramai 5,591 pengundi pos dalam kalangan tentera dan pasangan serta 281 anggota polis dan pasangan.

“Sebanyak 38 pusat mengundi awal bagi PRN Negeri Sembian dibuka melibatkan 70 buah saluran dan akan ditutup secara berperingkat.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 17 pusat mengundi ditutup pada pukul 12 tengah hari, tiga pusat ditutup pada pukul 2 petang, manakala 18 pusat lagi ditutup pukul 5 petang nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramlan berkata, setakat ini, pihaknya menerima sebanyak 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan.

“Aduan itu berkaitan kesalahan-kesalahan kecil seperti kerosakan bahan-bahan kempen dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast