KUALA LUMPUR – Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) memperkukuh hubungan pendidikan dengan China menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) bersama Guangzhou General Vocational and Technical School serta Guangzhou City Vocational Technical School.
Menerusi MoU itu, semua institusi akan meneroka pelbagai bentuk kerjasama termasuk projek penyelidikan antarabangsa, pembangunan bakat bersama, pertukaran kakitangan akademik, program mobiliti pelajar, peluang latihan industri, laluan pengajian pascasiswazah serta penyeliaan bersama bagi calon sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Kampus Sungai Long pada 14 Julai lalu itu menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang dalam pembangunan bakat, mobiliti pelajar, pertukaran akademik dan laluan pendidikan antarabangsa antara ketiga-tiga institusi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Presiden Antarabangsaisasi dan Pembangunan Akademik UTAR, Ir. Prof. Dr. Goi Bok Min.
Delegasi dari China diketuai Naib Pengerusi, Prof. Dr. Zhang Haisha bersama Pengetua Guangzhou City Vocational Technical School, Yin Chuanxin, Timbalan Pengetua Guangzhou General Vocational and Technical School, Ma Maoping serta Pengarah Pejabat, Huang Minkun.
UTAR berkata, kerjasama berkenaan akan dilaksanakan menerusi pelan tindakan yang dipersetujui oleh semua pihak.
Bok Min berkata, pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China melalui pembangunan bakat serta pengantarabangsaan pendidikan.
Beliau berkata, UTAR kini mempunyai rangkaian kerjasama dengan lebih 900 universiti dan institusi di seluruh dunia, termasuk lebih 200 institusi di China.
“Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan pensyarah dalam aspek mobiliti, pertukaran akademik, pembangunan bakat bersama serta penyelidikan, sekali gus mengukuhkan hubungan pendidikan antara kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Yin berkata, kedua-dua institusi dari Guangzhou berharap kerjasama jangka panjang dapat diwujudkan kerana semuanya institusi tersebut berkongsi matlamat melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri menerusi pendidikan berasaskan amali.
“Kerjasama ini diharap dapat memperluaskan peluang melanjutkan pengajian ke luar negara, pertukaran institusi dan pembangunan bakat bersama, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar melalui program kerjasama yang mampan,” katanya. – MalaysiaGazette
















