Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

SEREMBAN – Ada pihak didakwa sengaja memutarbelitkan sejarah dan memainkan isu sensitif berkaitan kaum bagi mencetuskan kemarahan, kebencian serta salah sangka dalam kalangan rakyat sehingga membawa kepada perpecahan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan sedemikian dipercayai dilakukan bagi meraih kepentingan politik dengan mewujudkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, rakyat perlu berhati-hati dengan pihak yang cuba mengeksploitasi isu kaum kerana perbuatan itu hanya akan merosakkan keharmonian yang telah lama terbina.

“Dia usaha untuk memutarbelitkan, menampak-nampakkan supaya timbul kemarahan, timbul kebencian, timbul salah sangka supaya kita bergaduh.

“Orang macam ini tidak boleh jadi kerajaan. Kena tolak,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Biru-kan Seremban di sini malam ini.

Sanusi berkata, sejarah sepatutnya dipelajari untuk memahami apa yang berlaku pada masa lalu, bukannya dimanipulasi bagi mencetuskan permusuhan antara kaum.

“Kalau sejarah itu baik, kita rancang untuk diteruskan. Kalau sejarah itu perit dan sedih, kita rancang supaya ia tidak berulang lagi. Itulah sejarah,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga perlu menolak pemimpin yang tidak memahami sejarah dan akar umbi negara serta menggunakan isu berkaitan kaum untuk kepentingan politik.

Dalam pada itu, Sanusi menegaskan, masyarakat pelbagai kaum perlu terus hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa dipengaruhi permainan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya membuat pertimbangan sewajarnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dan tidak memberikan mandat kepada pihak yang didakwa menggunakan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan politik.

Sebelum ini, media melaporkan Sanusi ketika memberi ucapan dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol baru-baru ini mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Sanusi antara lain menegaskan Malaysia satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum asal masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast