SEREMBAN – Usaha digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Malaysia mencapai sasaran berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia perlu mendapat sokongan rakyat khususnya pengundi di Negeri Sembilan.
Menurut pensyarah kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr. Mazlan Che Soh, pencapaian itu wajar diberi sokongan kerana lebih penting untuk pertumbuhan ekonomi negara berbanding persaingan politik yang hanya menjurus kepada perebutan kuasa berasaskan sentimen perkauman.
“Peningkatan Malaysia ke tangga ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 merupakan pencapaian yang perlu dihargai kerana menunjukkan negara berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.
“Dalam PRN Negeri Sembilan, rakyat seharusnya menilai setiap parti berdasarkan prestasi, kestabilan, keupayaan mengurus ekonomi serta dasar yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, politik pembangunan dan pencapaian perlu mengatasi persaingan yang berasaskan sentimen perkauman atau perebutan kuasa semata-mata.
Katanya, sokongan rakyat perlu diterjemahkan sebagai tuntutan agar usaha reformasi ekonomi, peningkatan daya saing, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pengukuhan pendapatan rakyat terus diperkasakan.
“Akhirnya, ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar kedudukan dalam ranking dunia, tetapi sejauh mana pencapaian itu dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Shahar Abdullah menjelaskan Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia.
Beliau berkata, keyakinan itu disokong kedudukan Malaysia di tangga ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), berbanding tangga ke-23 pada tahun lalu. – MalaysiaGazette
















