HUJAN lebat yang membasahi Kampung Simpang Durian petang ini tidak mematahkan semangat lebih 1,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) yang terus setia memenuhi khemah bagi mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, setiap kali beliau mempertahankan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, tepukan gemuruh dan sorakan daripada hadirin bergema, menunjukkan mesej yang disampaikan diterima baik oleh penyokong yang sanggup bertahan sehingga majlis berakhir.
Jika diperhatikan keseluruhan ucapan hampir sejam itu, Anwar bukan sekadar hadir untuk berkempen menjelang hari pengundian.
Sebaliknya, beliau menggunakan pentas di Chennah untuk menjawab pelbagai dakwaan yang sejak awal kempen banyak dikaitkan dengan Anthony serta DAP.
Nama Ahli Parlimen Seremban itu disebut beberapa kali sepanjang ucapan, sama ada ketika menjawab dakwaan kononnya beliau bakal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, mempertahankan kedudukan orang Melayu dan Islam mahupun ketika menjelaskan kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan dibina atas asas kemampuan, amanah dan kepercayaan bukannya kaum.

Anwar turut mempersoalkan mengapa Anthony terus menjadi sasaran serangan politik.
Menurut beliau, tuduhan yang dilemparkan terhadap pemimpin DAP itu bukan lagi tertumpu kepada prestasi atau dasar sebaliknya lebih banyak memainkan sentimen kaum bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi Melayu.
Bagi mematahkan naratif tersebut, Anwar mengingatkan Perlembagaan Negeri Sembilan dengan jelas menetapkan jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu.
Beliau turut menegaskan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta hak orang Melayu dan Bumiputera terus dipelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan mempertahankan hak orang Melayu tidak bermakna kaum lain perlu dipinggirkan.
Sebaliknya, setiap rakyat tanpa mengira kaum mempunyai peranan dalam membangunkan negara selagi menghormati Perlembagaan dan hidup dalam semangat perpaduan.
Bagi mengukuhkan hujahnya, Anwar turut mengangkat rekod Anthony sebagai anggota Kabinet, beliau menyifatkan Anthony sebagai pemimpin yang rajin bekerja, memahami tanggungjawabnya dalam kerajaan dan tidak pernah menghalang usaha memperkasakan agenda Melayu, Islam serta institusi seperti MARA.
Penegasan itu dilihat sebagai usaha mematahkan persepsi DAP menjadi ancaman kepada kepentingan orang Melayu sebaliknya Anwar meyakinkan pengundi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dibina atas dasar saling menghormati dan menerima Perlembagaan sebagai asas pentadbiran negara.
Selain mempertahankan Anthony, Anwar turut mengambil kesempatan memuji kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau dikenali Tok Min.
Beliau menyifatkan Aminuddin sebagai seorang pemimpin yang jujur, amanah dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam mentadbir negeri.
Anwar turut mengaitkan kepimpinan Aminuddin dengan pelbagai pencapaian kerajaan negeri termasuk peningkatan pelaburan, kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta pelaksanaan pelbagai program kebajikan.
Bagi beliau, rekod itu menjadi asas mengapa rakyat wajar memberi peluang kepada pentadbiran sedia ada untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.
Apa yang menarik, kedua-dua pemimpin itu menjadi fokus utama ucapan Anwar.
Jika Anthony dipertahankan daripada pelbagai serangan politik yang dimainkan sepanjang kempen, Aminuddin pula diketengahkan sebagai bukti pencapaian pentadbiran PH di Negeri Sembilan.
Pendekatan itu memperlihatkan usaha PH menggabungkan naratif mempertahankan pemimpin dengan rekod pentadbiran sebagai tawaran kepada pengundi.
Sama ada pendekatan tersebut mampu mempengaruhi pengundi hanya akan diketahui pada hari pengundian nanti.
Namun di Chennah petang ini, jelas pentas kempen itu bukan sekadar digunakan untuk meraih sokongan, malah menjadi ruang buat Anwar mempertahankan Anthony dan pada masa sama mengukuhkan keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin Harun sebagai peneraju kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















