Gelagat Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026, turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

CHENNAH – Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dengan menegaskan pemilihan pemimpin dalam kerajaan bukan berdasarkan kaum.

Sebaliknya berasaskan amanah, keupayaan dan komitmen berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, Anthony sering dijadikan sasaran serangan politik hanya kerana berbangsa Cina sedangkan Ahli Parlimen Seremban itu sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan dasar kerajaan termasuk perkara berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, sepanjang bekerjasama dalam kerajaan, Anthony tidak pernah membantah usaha kerajaan memperkukuh agenda Islam, memperkasakan institusi pendidikan Bumiputera atau membantu masyarakat Melayu.

“Saya pilih orang bukan sebab dia Melayu atau Cina. Saya pilih sebab dia amanah dan boleh bekerja.

“Anthony Loke ini orang kanan saya. Dia kerja kuat, fasih berbahasa Melayu. Bila kita buat dasar untuk memperkukuh Islam, bantu orang Melayu, perkasakan MARA dan pendidikan Bumiputera, dia tidak pernah bantah,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PH N.01 Chennah, Anthony Loke (kanan) walkabout kempen penduduk setempat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Simpang Durian, Jelebu. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian, hari ini.

Anwar berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan kempen yang cuba melabel seseorang pemimpin hanya berdasarkan kaum kerana pendekatan sedemikian tidak membawa manfaat kepada negara.

Sebaliknya ukuran sebenar seorang pemimpin ialah kejujuran, integriti dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, pendekatan itu juga menjadi prinsip kerajaan Madani dalam membentuk barisan kepimpinan yang mampu berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Beliau berkata, Aminuddin telah membuktikan kepimpinan yang berasaskan amanah, rajin bekerja dan tidak menyalahgunakan kuasa sepanjang mentadbir Negeri Sembilan.

“Saya pilih Aminuddin kerana dia rajin bekerja, amanah dan tidak curi harta rakyat. Itu yang penting. Kita pilih pemimpin yang bersih bukan pemimpin yang apabila ada kuasa sedikit terus ambil tanah, ambil balak dan salah guna kuasa,” katanya.

Menurut Anwar, negara memerlukan lebih ramai pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi kerana hanya dengan pentadbiran yang bersih, keyakinan rakyat dan pelabur dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini berada dalam keadaan aman walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, menjadi antara faktor yang mendorong kemasukan pelaburan ke negara ini.

Negeri Sembilan sendiri turut menikmati peningkatan pelaburan hasil kestabilan politik dan pentadbiran yang berteraskan integriti, katanya.

Mengulas isu rasuah dan salah guna kuasa, Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan mencampuri proses perundangan kerana setiap siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Kalau ada kes rasuah atau penyelewengan, bukan Perdana Menteri yang siasat atau hukum.

“SPRM dan polis menjalankan siasatan, pendakwa raya membuat pendakwaan, manakala hakim menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Itulah proses yang mesti dihormati dalam sebuah negara yang berlandaskan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik bagi memastikan kekayaan negara dipelihara dan tidak lagi disalahgunakan oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast