SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyantuni rakyat di tiga lokasi utama di Negeri Sembilan hari ini sempena kemuncak Jelajah Kekal Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) berkata, program berkenaan merupakan acara penutup siri Jelajah Kekal Harapan yang berlangsung di seluruh negeri sepanjang tempoh berkempen dengan menampilkan kehadiran Anwar bersama barisan kepimpinan utama PH.
Menurut kenyataan itu, Anwar akan menghadiri program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Taman Cempaka, Labu sebelum menyertai Sesi Ramah Mesra Bersama Pengerusi PH di Klana Resort, Seremban.
Katanya, program kemuncak atau Grand Finale Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan pula akan berlangsung di Pusat Perniagaan Betaria, Seremban.
“Program ini menjadi kemuncak siri Jelajah Kekal Harapan yang telah berjaya menghimpunkan ribuan rakyat di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tempoh kempen.
“Ia juga merupakan peluang terbaik untuk rakyat mendengar sendiri hala tuju, pencapaian serta komitmen Kerajaan Madani dan Pakatan Harapan dalam membangunkan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain tiga program berkenaan, JPPH turut mengajak orang ramai menghadiri program Kuala Pilah Berselawat yang dijadual berlangsung pada 30 Julai di Dataran Melang, Kuala Pilah.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan akan menampilkan beberapa agamawan terkenal iaitu Sheikh Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wasabi, Habib Nael Ben Taher dan Angham Anisah.
JPPH berkata, sambutan yang diterima sepanjang siri Jelajah Kekal Harapan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran kerajaan negeri serta komitmen Kerajaan Madani dalam membawa pembangunan, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi kepada rakyat.
Jelas kenyataan itu, sokongan yang ditunjukkan sepanjang jelajah itu turut memberi keyakinan bahawa agenda pembangunan yang dibawa PH terus mendapat perhatian masyarakat di Negeri Sembilan.
“Sehubungan itu, seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan semua program yang telah dirancang ini sebagai manifestasi sokongan terhadap agenda Kekal Harapan demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















