JEMPOL – Memasuki hari ke-12 kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan mengakui semakin dikenali sebahagian pengundi dengan gelaran “calon putih-coklat”.
Menurutnya, ia adalah kerana hasil penampilannya yang konsisten mengenakan baju putih dipadankan dengan seluar coklat sepanjang berkempen sejak hari penamaan calon pada 18 Julai lalu.
Bagi Manivanan, identiti itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya dirancang sejak awal bagi memudahkan pengundi mengecam dan mendekatinya di sebalik kesibukan kempen pilihan raya.
“Saya cuba menampilkan diri sebagai seorang calon yang memakai baju putih dan seluar coklat supaya rakyat mengenali saya dengan lebih cepat, lebih dekat.
“Kalau memakai baju parti, semua sama jadi pengundi yang melihat dari jauh sukar membezakan siapa calon, siapa wakil calon dan siapa jentera,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, sejak hari penamaan calon lagi beliau tidak pernah mengubah penampilan tersebut sehingga menyediakan lapan helai baju putih dan lima pasang seluar coklat bagi memastikan identiti itu kekal sepanjang tempoh berkempen.

Manivanan berkata, sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, beliau tidak merasakan perlu memakai pakaian berwarna parti untuk membuktikan dirinya mewakili PH.
“Saya tidak perlu terlalu menunjukkan saya ini anggota PH sebab ramai sudah tahu, sebaliknnya apa yang saya nak sampaikan ialah apabila rakyat nampak dari jauh, mereka terus tahu, ‘itu calon kita’,” katanya.
Manivanan berkata, strategi berkenaan mula menampakkan hasil apabila pengundi sendiri mengaitkan dirinya dengan gabungan warna tersebut.
“Sekarang ini semua orang dah mula berbual calon mesti putih-coklat jadi itu lebih senang untuk mereka kenal saya.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi saya dan saya rasa ia sesuai kerana rakyat dapat mengenali saya dengan lebih dekat,” katanya. – MalaysiaGazette
















