PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Pelandok, berhubung penularan video yang mendakwa terdapat individu disyaki mengagihkan wang di kawasan Chuah.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu turut menegaskan tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan sesiapa untuk menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran untuk undi.
Menurutnya, beliau juga tidak pernah meminta sesiapa melakukan perbuatan sedemikian bagi pihaknya, malah menentang sekeras-kerasnya politik wang dan perbuatan membeli undi.
“Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya, malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi.
“Sekiranya benar terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan membeli undi, saya menggesa pihak polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi penguatkuasaan berkaitan supaya memandang serius perkara ini, menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu klip video yang memaparkan orang ramai berebut-rebut di sebuah lokasi bagi mendapatkan wang yang dikatakan berlaku di DUN Chuah.
Turut disebarkan adalah gambar sejumlah wang di dalam sampul surat yang didakwa diterima penduduk dan kejadian itu dikaitkan dengan tindakan menagih undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.
Menurut Boon Lye, setakat ini, sumber video yang tular itu masih tidak diketahui, manakala latar belakang rakaman, waktu, lokasi, identiti individu yang terlibat serta tujuan wang tersebut diberikan juga masih belum dapat dipastikan.
Namun, ujarnya, sebelum pihak polis menjalankan siasatan, video berkenaan telah dikaitkan dengannya dan Pakatan Harapan (PH) yang dijadikan asas untuk menuduh kononnya beliau membeli undi.
“Perbuatan melemparkan tuduhan, memfitnah dan memburukkan nama seseorang secara terbuka tanpa sebarang pengesahan merupakan tindakan yang amat keji dan sama sekali tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Boon Lye berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu atau cubaan mengelirukan pengundi bersabit video tular tersebut.
Katanya, tindakan itu berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan; Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau turut menyifatkan mana-mana pihak yang sanggup mengagihkan wang untuk membeli undi dan mencemarkan nilai demokrasi merupakan individu yang amat tidak bermaruah, tanpa mengira sama ada mereka penduduk tempatan ataupun orang luar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau kenyataan palsu sehingga menjejaskan reputasinya serta integriti kempen PH.
“Saya menyeru semua pihak supaya segera menghentikan penyebaran sebarang maklumat yang belum disahkan dan tidak menjadikan fitnah sebagai senjata politik.
“Marilah kita bersama-sama memastikan proses demokrasi berlangsung secara matang, beretika dan berlandaskan kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















