Calon Bersatu N.07 Jeram Padang, Datuk Seri R. Sri Sanjeevan beramah mesra dengan orang asli Kampung Batu Peti yang menyertai tutorial solekan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Jeram Padang, Jempol. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2026.

JEMPOL – Kebiasaannya kempen pilihan raya dipenuhi ceramah dan ziarah rumah ke rumah, namun suasana berbeza dapat dilihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.

Ia apabila calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk R. Sri Sanjeevan memilih menganjurkan program tutorial solekan bersama wanita masyarakat Orang Asli di Balai Raya Kampung Orang Asli (KOA) Batu Peti.

Menurutnya, program anjuran Srikandi Muda Bersatu Malaysia itu menjadi antara aktiviti kempen paling unik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan menghimpunkan wanita Orang Asli dalam suasana santai sambil mempelajari teknik asas solekan.

Gelagat orang asli Kampung Batu Peti menyertai tutorial solekan dalam program kemasyarakatan calon PRN Negeri Sembilan di Jeram Padang, Jempol. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2026.

“Sebenarnya, idea menganjurkan tutorial solekan ini dicetuskan oleh sayap Srikandi Muda selepas melihat program seumpama itu belum pernah diadakan di perkampungan Orang Asli berkenaan.

“Pada mulanya kami tidak sangka ramai yang akan keluar, tetapi sambutannya sangat meriah dan menggalakkan apabila hampir 30 penduduk keluar mempelajari tutorial ini,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sekadar aktiviti kempen, sebaliknya menjadi platform mendekati komuniti wanita Orang Asli melalui program yang bersesuaian dengan minat mereka.

Calon Bersatu N.07 Jeram Padang, Datuk Seri R. Sri Sanjeevan beramah mesra dengan orang asli Kampung Batu Peti yang menyertai tutorial solekan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Jeram Padang, Jempol. Foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2026.

Sementara itu, Sanjeevan berkata, kempen memasuki minggu kedua berjalan lancar walaupun terdapat beberapa isu setempat yang dibangkitkan pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Malah, penggunaan logo Bersatu pada PRN Negeri Sembilan menerima respons positif daripada pengundi di Jeram Padang

“Saya tidak mahu sebut jumlah undi yang saya yakin ada bersama saya tapi apa yang penting saya percaya kita mempunyai peluang yang baik untuk menang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast