Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 949 individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menerusi Operasi Mabuk yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara. 

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata, sebanyak 1,634 operasi dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 692 operasi bagi tempoh sama tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 942 operasi atau 136.1 peratus.

Daripada keseluruhan 949 tangkapan itu, seramai 895 individu adalah lelaki (94.3 peratus) manakala 54 individu perempuan (5.7 peratus).

Mengikut pecahan umur, individu berusia 41 tahun ke atas mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 364 orang (38.4 peratus), diikuti kumpulan umur 31 hingga 40 tahun seramai 352 orang (37.1 peratus), 21 hingga 30 tahun seramai 225 orang (23.7 peratus) dan 16 hingga 20 tahun seramai tujuh orang (0.7 peratus).

Lima kontinjen dengan jumlah tangkapan tertinggi ialah Kuala Lumpur sebanyak 268 tangkapan, Johor (223), Selangor (182), Sabah (95) dan Sarawak (62). katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, JSPT turut merekodkan peningkatan tindakan perundangan bagi kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 1,040 Kertas Siasatan Trafik (KST) dibuka berbanding 870 kes pada tempoh sama tahun 2025.

Sebanyak 589 kes dituduh di mahkamah berbanding 486 kes pada 2025, manakala 414 kes telah dijatuhi hukuman berbanding 334 kes tahun lalu.

JSPT memaklumkan operasi berkenaan akan diteruskan secara berterusan dan tindakan akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast