CHENNAH – Kerajaan Myanmar telah bersetuju untuk menerima semula 5,000 etnik Rohingya yang berada di Malaysia sebagai langkah awal ke arah penyelesaian isu pelarian berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan dengan kerajaan Myanmar, membuktikan pendekatan diplomasi lebih berkesan berbanding gesaan supaya semua pelarian dihantar pulang serta-merta tanpa persetujuan negara asal.
“Ramai kata hantar balik sahaja Rohingya. Hendak hantar ke mana? Hantar ke Myanmar, mereka tidak mahu terima.
“Sebab itu kita berunding dengan Myanmar. Sekarang mereka setuju ambil 5,000 orang dahulu,” katanya ketika berucap pada program Minum Petang Bersama Perdana Menteri di Kampung Simpang Durian hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia tetap berpegang kepada prinsip kehadiran pelarian tidak boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu kehidupan rakyat tempatan.
Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga Rohingya yang didapati mengganggu jalan raya, kawasan awam atau aktiviti perniagaan.
“Saya sudah beri arahan dan Ketua Polis Negara juga telah diarahkan supaya mereka tidak mengganggu jalan raya dan tempat-tempat awam.
“Kita sediakan tempat untuk mereka tetapi mereka jangan ganggu perniagaan rakyat Malaysia atau kehidupan masyarakat tempatan. Ini negara kita dan undang-undang mesti dihormati,” ujar beliau.
Anwar berkata, kerajaan perlu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan terhadap pelarian dengan kepentingan menjaga keselamatan serta keharmonian dalam negara.
Menurutnya, penghantaran pulang pelarian tidak boleh dilakukan secara unilateral kerana ia memerlukan persetujuan kerajaan negara asal.
Beliau berkata, hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Myanmar membuka ruang kepada rundingan berterusan bagi mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap isu berkenaan.
“Orang kata hantar balik tetapi kalau negara asal tidak menerima mereka, hendak hantar ke mana? Sebab itu kita memilih jalan rundingan supaya penyelesaian dapat dicapai secara berperingkat dan mengikut saluran yang betul,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memastikan sebarang keputusan berhubung isu pelarian mengambil kira aspek keselamatan negara, kepentingan rakyat Malaysia serta komitmen negara terhadap prinsip kemanusiaan. -MalaysiaGazette
















