REMBAU – Pemerkasaan aspek pendidikan serta kemahiran merupakan antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Shahir berkata, majoriti pengundi di DUN Paroi merupakan golongan belia berusia 40 tahun ke bawah, yang disifatkan aset penting kepada pembangunan negara.
Sehubungan itu, menurutnya, mereka memerlukan peluang untuk melanjutkan pendidikan atau meningkatkan kemahiran dalam bidang tertentu bagi menyumbang semula kepada pembangunan khususnya di Paroi.
Apatah lagi, ujarnya, setiap tahun, ramai golongan muda di Paroi menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan ruang lebih luas dan mudah untuk menyambung pengajian.
“Paroi sendiri terletak di lokasi strategik apabila dekat dengan akses utama sama ada untuk ke Kuala Lumpur, Seremban dan sebagainya.
“Jadi bagi saya golongan belia di kawasan ini tidak seharusnya rasa terbatas untuk mendapatkan peluang pendidikan yang baik,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Ustaz Shahir yang juga merupakan calon muka baharu, beliau juga mahu menggalakkan dan mempermudahkan laluan buat golongan belia di Paroi untuk menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, ia supaya golongan belia di Paroi dapat meningkatkan kemahiran dan menjadi tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka dan keluarga.
Dalam pada itu, Ustaz Shahir berkata, peluang turun bertemu pengundi ketika berkempen PRN Negeri Sembilan membolehkannya mendengar pelbagai masalah rakyat yang akan diberi perhatian sekiranya beliau menang pada Sabtu ini.
Menurutnya, setiap kawasan atau taman perumahan yang dilawatinya mempunyai masalah tersendiri yang diharapkan dapat diselesaikan oleh penduduk terlibat.
“Selain mahu masalah mereka itu dapat diselesaikan, penduduk sebenarnya turut berharap wakil rakyat mereka di sini kelak konsisten memberi perhatian dan mendengar permasalahan mereka.
“Mereka mahukan wakil rakyat yang benar-benar mewakili mereka,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Ustaz Shahir berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd. Zin yang juga penyandang dalam percubaan merampas semula kerusi DUN itu.
Beliau juga akan menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Nazree Mohd. Yunus dalam persaingan tiga penjuru di kerusi tersebut. – MalaysiaGazette
















