SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pendekatan media sosial secara lebih agresif dalam tempoh akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi mendekati pengundi muda.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu termasuk mengadakan siaran langsung menerusi aplikasi TikTok selama lebih 24 jam bermula esok.
Menurut beliau, semua calon PH akan mengambil bahagian dalam program berkenaan dengan tampil bersama influencer dan golongan anak muda.
“Pasukan akan mula esok selama lebih 24 jam. Mereka akan mula bersiaran secara langsung dalam aplikasi seperti TikTok dan semua calon, bukan hanya daripada PKR tetapi seluruh PH akan singgah sebentar untuk bersama influencer dan anak muda.
“Kita percaya ini menjadi cara baharu untuk menyantuni terutama pengundi muda,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Biro Bernama Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, PKR melihat peluang untuk meraih sokongan pengundi masih terbuka, susulan sambutan baik diterima daripada pelbagai kelompok masyarakat sepanjang tempoh kempen.
Katanya, usaha mendekati pengundi akan dipertingkatkan khususnya dalam tempoh hari-hari terakhir sebelum pengundian, termasuk menerusi pendekatan berbeza bagi menarik perhatian pengundi muda.
“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh kerana kita lihat peluang itu ada. Sambutan yang agak baik kita terima daripada para pengundi daripada pelbagai kelompok dan lapisan.
“Insya-Allah, kita akan tingkatkan usaha terutama pada hari-hari terakhir ini,” katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 akan berlangsung pada 1 Ogos ini dengan PH antara gabungan yang bertanding bagi mempertahankan pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette
















