Orang ramai mengambil kesempatan merakamkan detik kenangan bersama Ahmad Zahid

TAMPIN – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum membincangkan calon Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun kedua-dua gabungan yakin momentum sokongan pengundi semakin memihak kepada ‘gelombang biru’ menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding manakala soal pelantikan Menteri Besar hanya akan diputuskan sekiranya gabungan itu memperoleh mandat membentuk kerajaan negeri.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sehingga kini, tiada sebarang persetujuan atau perjanjian dibuat antara BN dan PN berhubung jawatan berkenaan.

“Kita tidak ada persetujuan, kita tidak ada perjanjian tetapi kita ada persefahaman. Tiba waktunya kita akan duduk semeja dan kita akan berbincang, membincangkan dengan mencari kesimpulan yang sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir sesi libat urus bersama pimpinan masyarakat Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahmad Zahid sebelum itu diminta mengulas cadangan PN menyerahkan kepada BN untuk menentukan calon Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan ‘gelombang biru’ berjaya membentuk kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau melihat kerjasama jentera BN dan PN di lapangan berjalan dengan baik sepanjang tempoh kempen.

Malah beliau turut menghargai arahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya ahli parti itu mengundi calon BN sambil memaklumkan BN juga menggerakkan jenteranya membantu calon-calon PN di kerusi yang ditandingi gabungan tersebut.

“Kita sangat menghargai, kalau bukan fatwa tetapi arahan yang dikeluarkan itu. Sebenarnya kami juga telah melakukan perkara yang sama untuk membantu calon-calon mereka,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan, momentum atau ‘gelombang biru’ kini semakin dirasai namun ia perlu diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.

“Kita amat yakin tetapi kita tidak mendahului hukum Allah apabila jentera bergerak didapati ‘gelombang biru’ itu memang benar-benar kami rasakan.

“Tetapi kita mahu gelombang ini benar-benar diterjemahkan dalam bentuk undi dan dimasukkan dalam peti undi pada hari pengundian nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast