Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Telok Kemang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026.

SEREMBAN – Datuk Seri Aminuddin Harun menyindir Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya masih gagal menamakan calon Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah berada di penghujung.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, kegagalan memuktamadkan calon Menteri Besar membuktikan pihak lawan masih bergelut dengan perebutan kepimpinan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai hala tuju pentadbiran negeri sekiranya mereka diberi mandat.

Menurut beliau, berbeza dengan PH yang tampil dengan satu pasukan lengkap dan tersusun, pihak lawan dilihat masih gagal mencapai kata sepakat mengenai siapa yang bakal menerajui kerajaan negeri.

“Kita tak tahu kalau sebelah sana menang, siapa jadi Menteri Besar pun sampai hari ini tak tahu lagi. Kempen dah nak habis, esok lusa dah pilihan raya, calon Menteri Besar pun tak ada lagi.

“Yang seorang nak jadi Menteri Besar pun tak berani. Yang seorang lagi kata siapa pun tak berani nak tampil. Yang seorang lagi mula-mula sokong kawan dia, lepas kena marah terus diam. Ini apa benda?” soalnya ketika berucap pada program Malam Pengisian Jiwa di DUN Labu, malam ini.

Aminuddin berkata, keadaan itu berbeza dengan PH yang telah menawarkan barisan calon berpengalaman merangkumi tokoh pentadbiran, profesional, agamawan, usahawan dan golongan muda bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai pasukan mantap untuk bekerja, bukannya sibuk dengan perebutan jawatan atau krisis kepimpinan sebelum pilihan raya berakhir.

“Yang kita tawarkan ialah pasukan untuk bekerja bukan pasukan untuk berpecah-belah, bukan pasukan yang gila kuasa dan bukan pasukan yang akan merosakkan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan semua calon PH supaya terus mendekati rakyat dan tidak mengabaikan kawasan selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, budaya turun padang perlu bermula sejak awal pagi setiap hari kerana kepercayaan rakyat hanya dapat dikekalkan melalui khidmat yang berterusan bukannya sekadar muncul ketika musim pilihan raya.

Pada masa sama, beliau menggesa seluruh jentera PH memanfaatkan baki tempoh berkempen untuk memperkukuhkan sokongan rakyat sambil menyerahkan keputusan akhir kepada ketentuan Allah. 

“Menang atau kalah itu ketentuan Allah. Tugas kita ialah berusaha bersungguh-sungguh dan mendapatkan reda-Nya. Yang penting kita sudah memberikan ikhtiar terbaik untuk rakyat dan negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast