KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan kesemua empat penghuni yang lari dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak, Jumaat lalu berjaya ditangkap semula sekitar daerah Sungai Siput dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan penduduk kampung.
Sehubungan itu Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, mesej tular yang mendakwa penghuni terbabit berada di sekitar Bandar Baru Bangi adalah palsu.
“Orang ramai digesa agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan keresahan awam.
“Tindakan undang – undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, siasatan dalaman secara menyeluruh dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk meneliti sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).
AADK akan mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang sekiranya wujud kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat. -MalaysiaGazette
















