SEREMBAN – Isu kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat dipercayai menjadi antara faktor utama yang mampu mengubah sentimen pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Temiang Jaya, Roslaini Mohammad yang lebih dikenali dengan panggilan Hassan berkata, maklum balas diterima sepanjang tempoh berkempen menunjukkan semakin ramai pengundi mahu melihat perubahan dengan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, keyakinan itu turut didorong sambutan positif yang diterima calon BN, Leaw Kok Chan dalam setiap program turun padang bersama jentera parti.
“Jentera BN bersama calon bekerja kuat sejak hari pertama kempen. Daripada maklum balas yang kami terima, ramai pengundi mahu melihat BN menang di Temiang dan kembali membentuk kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Roslaini berkata, sepanjang sesi bertemu pengundi, isu yang paling banyak dibangkitkan adalah tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai oleh rakyat.
Katanya, ramai penduduk meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa kehidupan mereka semakin sukar susulan peningkatan harga barang keperluan harian serta pelaksanaan beberapa dasar yang memberi kesan kepada kos perniagaan dan perbelanjaan isi rumah.
“Ramai yang memberitahu kami mereka berasa terbeban dengan kenaikan harga barang mentah dan kos kehidupan. Ada juga yang membangkitkan isu diesel, e-invois serta beberapa dasar lain yang menurut mereka memberi kesan kepada kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau berkata, sentimen itu memberi gambaran pengundi kini lebih menilai kemampuan sesebuah parti dalam menangani isu ekonomi berbanding retorik politik semata-mata.
Bagi memastikan setiap suara rakyat didengari, Roslaini berkata, BN memilih pendekatan kempen secara bersemuka dengan memberi peluang kepada pengundi menyampaikan sendiri pandangan dan masalah mereka kepada calon.
Menurutnya, jentera BN melaksanakan pertemuan secara berkumpulan, selain mengadakan kempen dari rumah ke rumah sehingga tiga pusingan dalam tempoh seminggu bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat ditemui.
Katanya, lawatan ke kawasan taman perumahan turut dilakukan dua hingga tiga kali sepanjang tempoh kempen, manakala program ziarah kasih diteruskan sekiranya jentera mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan atau perhatian.
“Pendekatan ini membolehkan calon mendengar sendiri masalah rakyat. Kami tidak mahu hanya berceramah tetapi mahu benar-benar memahami apa yang dihadapi oleh penduduk Temiang,” katanya lagi.
Roslaini berkata, Kok Chan juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap program dengan mendengar setiap aduan yang dikemukakan pengundi dan berusaha mencari penyelesaian sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, berbaki kurang 48 jam sebelum pengundian, seluruh jentera BN akan terus mempergiatkan gerak kerja bagi memastikan momentum yang dibina sepanjang kempen dapat diterjemahkan kepada kemenangan di peti undi.
“Kami akan terus bekerja sehingga tamat tempoh berkempen. Dengan usaha yang lebih gigih serta sokongan rakyat, kami yakin BN berpeluang menawan semula DUN Temiang,” katanya. -MalaysiaGazette
















