SEREMBAN – Penduduk Lenggeng memerlukan pemimpin yang berani bertindak bagi menangani pelbagai isu, kata calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zool Amali Hussin.
Lebih dikenali sebagai Bozz Jebat, Zool Amali berkata, ia termasuk pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana (IKS) serta pemeliharaan warisan budaya tempatan,
“Cukup sudah kita dengar janji. Cukup sudah kita tengok Lenggeng ketinggalan. Jalan rosak, anak muda merantau, IKS kita mati, budaya kita dilupakan.
“Lenggeng perlukan orang yang berani. Bukan berani bercakap, tetapi berani buat,” katanya, hari ini.
Beliau yang juga anak jati Lenggeng berkata, pengalaman hampir tiga dekad dalam politik menjadi bekalan untuk memperjuangkan kepentingan penduduk Lenggeng sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
“Saya tak minta banyak. Saya merayu satu peluang, satu mandat. Mandat untuk anak jati berkhidmat, mandat untuk terus berjuang demi masa depan Lenggeng,” katanya. – MalaysiaGazette















