SEREMBAN – Pakatan Harapan (Harapan) menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Ini termasuk kerugian berbilion ringgit, dakwaan pelanggaran tadbir urus serta campur tangan politik dalam pentadbiran institusi itu.
Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, penemuan dalam laporan RCI itu menunjukkan kelemahan serius dalam pengurusan TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 yang memerlukan tindakan tegas demi melindungi kepentingan lebih sembilan juta pendeposit.
Menurutnya, laporan berkenaan merumuskan TH mengalami kerugian mencecah RM12.6 bilion selain mendedahkan dakwaan pemalsuan akaun, pelaburan bermasalah dan campur tangan ahli politik dalam pentadbiran institusi tersebut.
Beliau berkata, antara enam dapatan utama RCI ialah kedudukan kewangan TH yang didapati berada dalam keadaan kritikal apabila institusi itu sepatutnya merekodkan kerugian RM1.4 bilion pada 2017 sekiranya piawaian perakaunan dipatuhi sepenuhnya, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti diumumkan ketika itu.
Katanya, RCI turut mendapati hibah telah diisytiharkan walaupun kedudukan kewangan tidak mengizinkan, selain kegagalan mematuhi piawaian perakaunan termasuk tidak merekodkan rosot nilai bagi pelaburan, anak syarikat, instrumen pendapatan tetap dan hartanah.
“Laporan itu juga menunjukkan wujud jurang defisit antara aset dan liabiliti TH sejak 2014, selain campur tangan ahli politik dalam lembaga pengarah yang menjejaskan tadbir urus institusi tersebut.
“Beberapa keputusan pelaburan strategik termasuk pegangan dalam FGV turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan kerugian besar kepada kedudukan kewangan TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan berkata, kerugian berbilion ringgit berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan amanah lebih sembilan juta penabung yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada TH untuk menguruskan simpanan mereka.
“Harapan bertegas bahawa duit ini tidak wajar digunakan untuk membayar elaun dan bonus yang tinggi, untuk tujuan bergaya, dijadikan alat berpolitik atau membuat pelaburan sewenang-wenangnya yang tidak menguntungkan.
“Sekiranya terbukti berlaku salah laku, pendakwaan tidak boleh dielakkan dan mesti dilaksanakan mengikut segala lunas undang-undang sehingga pelaku menerima hukuman setimpal,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Harapan menyambut baik pendedahan laporan RCI oleh kerajaan kerana ia membuktikan komitmen terhadap tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan ketelusan.
Menurutnya, sebanyak 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan, dengan kedudukan aset TH kini melebihi liabiliti selain membolehkan hibah 3.5 peratus diumumkan bagi tahun kewangan 2025.
Beliau berkata, keputusan penting lain yang dilaksanakan ialah ahli politik tidak lagi dibenarkan memegang jawatan dalam TH dan semua anak syarikatnya bagi memastikan institusi itu ditadbir secara lebih profesional.
“Kerajaan juga mesti meneruskan usaha pemulihan bukan sahaja terhadap imej TH, malah mengembalikan keyakinan pendeposit tanpa sebarang kompromi.
“Pada masa sama, kerajaan perlu memperkukuh tadbir urus serta memperkemas mekanisme pengawasan bebas agar sejarah hitam ini tidak berulang. Titik peluh dan usaha keras pendeposit merupakan amanah yang tidak boleh dipermainkan,” katanya. -MalaysiaGazette
















