Gambar hiasan.

SEREMBAN – Ramalan pemimpin DAP, Ong Kian Ming bahawa gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat bukan sesuatu yang melemahkan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya mampu membangkitkan semangat penyokong gabungan itu untuk mempertahankan kerajaan negeri.

Menurut Profesor Adjung Universiti SEGi, Dr. Sarraf Rajesh, dalam arena politik, persepsi sering mempengaruhi strategi kempen dan apabila sesuatu pertandingan dilihat semakin sengit, jentera parti lazimnya akan bekerja lebih keras, manakala penyokong pula lebih terdorong untuk keluar mengundi.

Katanya, kenyataan Kian Ming itu boleh menjadi pemangkin yang menyatukan semula kekuatan PH di peringkat akar umbi selain mengelakkan rasa terlalu yakin dalam kalangan penyokong gabungan berkenaan.

“Persoalan utama kini bukan lagi mengenai ramalan siapa yang akan menang, tetapi bagaimana pengundi menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Lazimnya, pengundi akan membuat keputusan berdasarkan pengalaman mereka sendiri terhadap dasar dan pelaksanaan kerajaan, bukannya semata-mata dipengaruhi oleh unjuran politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Serdang meramalkan gabungan BN-PN berpotensi memenangi antara 23 hingga 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan keputusan pilihan raya tidak ditentukan oleh ramalan mana-mana penganalisis atau pemimpin politik, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pilihan pengundi.

Profesor Adjung Universiti SEGi, Dr. Sarraf Rajesh
Profesor Adjung Universiti SEGi, Dr. Sarraf Rajesh

Mengulas lanjut, Sarraf berkata, PH memasuki pilihan raya dengan kelebihan tersendiri menerusi rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan berjaya mengekalkan kestabilan kerajaan negeri serta bebas daripada kontroversi besar sepanjang memimpin Negeri Sembilan.

“Pendekatan beliau yang sederhana serta mudah didekati turut membentuk imej seorang pemimpin yang lebih mengutamakan penyelesaian berbanding retorik politik.

“Dalam aspek pembangunan pula, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi negeri, menambah baik infrastruktur, memperluaskan peluang pekerjaan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.

“Justeru, ramalan yang dibuat oleh Ong Kian Ming mungkin bukan sesuatu yang melemahkan PH.

“Sebaliknya, ia berpotensi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penyokong bahawa setiap undi amat penting. Semakin sengit sesuatu pertandingan, semakin tinggi kebarangkalian jentera dan penyokong akan digerakkan secara maksimum sehingga hari pengundian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast