Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Siasatan menyeluruh susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilakukan segera.

Setiausaha Agung Parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Ainie Haziqah berkata, ini bagi memastikan mereka yang terbabit dalam apa jua salah laku dihadapkan ke muka pengadilan.

“Perkara asas perlu dilaksanakan secepat mungkin antaranya melarang penglibatan ahli politik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga Tabung Haji (LTH) dan anak-anak syarikat selain penyusunan semula struktur tadbir urus LTH.

“Rakyat berhak mendapat jawapan. Rakyat juga berhak melihat keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, semalam.

Mengulas lanjut, Ainie berkata, apa yang didedahkan bukan sekadar persoalan angka di atas kertas tetapi menyentuh soal amanah terhadap wang simpanan jutaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu beragama Islam.

Bagi kebanyakan pendeposit, katanya, TH bukan sekadar sebuah bangunan atau institusi semata-mata namun merupakan tempat mereka menyimpan hasil titik peluh selama bertahun-tahun dengan satu impian iaitu menunaikan Rukun Islam kelima dengan melaksanakan ibadah haji.

Kebanyakan mereka adalah orang Melayu beragama Islam yang menyimpan duit di TH dengan sepenuh kepercayaan bahawa wang mereka diuruskan secara amanah, telus dan bertanggungjawab.

“Namun hari ini kita dikejutkan dengan pendedahan yang cukup mengecewakan. Pelbagai penyelewengan, pecah amanah dan salah tadbir berlaku dalam sebuah institusi yang ditubuhkan dengan niat yang suci,” katanya.

Tegasnya, dakwaan berkenaan pelaburan-pelaburan yang gagal oleh TH bukan isu kecil yang boleh didiamkan.

Laporan itu juga, katanya, membangkitkan persoalan mengenai pembayaran dividen, ganjaran dan bonus yang dilaporkan mencecah sehingga 13 bulan, sedangkan wujud persoalan berhubung kedudukan kewangan dan prestasi sebenar ketika itu.

Selain itu, ujar beliau, wujud campur tangan ahli politik yang berleluasa hingga mengakibatkan penamatan tempoh kontrak pemegang jawatan dalam TH, pembayaran dividen yang tidak mendapat kelulusan sewajarnya serta pelaburan di syarikat-syarikat tidak dilakukan semakan terlebih dahulu adalah amat mengecewakan.

“Sejumlah wang bernilai RM10 bilion yang dikatakan merupakan kerugian dialami ini bukanlah sebuah nilai yang kecil apatah lagi kerugian ini ditanggung oleh para pendeposit.

“Ini adalah sebuah pengkhianatan terhadap amanah rakyat Malaysia serta impian mereka untuk menunaikan ibadah haji. Pendedahan yang dilaporkan juga turut mencemar imej TH di mata dunia sebagai antara pengendali haji terkemuka yang telah menerima pelbagai anugerah saban tahun,” katanya .

Beliau berkata, pengkhianatan yang sudah berlaku ini tidak harus dipandang remeh.

“Kini, persoalan paling penting ialah siapa yang akan dipertanggungjawabkan? Akauntabiliti tidak boleh terhenti setakat penerbitan laporan.

“Sekiranya terdapat salah laku, kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” tegasnya lagi.

Justeru, katanya, pendedahan RCI itu mesti menjadi titik permulaan kepada pembaharuan yang sebenar, memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memastikan episod seperti ini tidak akan berulang lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast