Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama masyarakat yang hadir pada Program Munajat Perdana sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Orang Ramai Linggi, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 30 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah satu kerugian sekiranya penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tidak memilih Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai wakil rakyat mereka.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, ini kerana Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diketahui seorang pemimpin yang amanah serta tidak pernah dikaitkan dengan isu salah guna kuasa atau rasuah.

“Saya minta kerjasama penduduk di DUN Linggi ini memberikan sokongan kepada Aminuddin.

“Kerana adalah rugi kalau ada pemimpin yang amanah, yang baik, yang tak rasuah itu kita tolak. Kerana saya tak tahu apa sebab (perlu tolak Aminuddin).

“Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Dan kita doakan kebaikan supaya Allah SWT merestui usaha kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi di sini malam ini, yang turut dihadiri Aminuddin.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu ini, Aminuddin berdepan saingan tiga penjuru di DUN Linggi yang merupakan kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN).

Aminuddin akan berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua di DUN tersebut.

Sebelum ini, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast