Calon BN N.18 Pilah, S Leza Md Yasin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Menang, Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 23 JULAI 2026.

PILAH – Berbaki kira-kira 48 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Pilah, S Leza Md Yasin menggandakan gerak kerja di lapangan bagi menemui seramai mungkin pengundi yang masih belum membuat keputusan.

Menurutnya, tempoh akhir kempen itu amat penting untuk menyampaikan sendiri visi dan komitmennya kepada rakyat, selain merayu anak-anak perantau pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

S Leza berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau melihat berlaku perubahan positif dalam sentimen pengundi yang kini lebih menilai keupayaan calon berkhidmat berbanding retorik politik.

Katanya, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah memberi peluang untuk mendengar sendiri pelbagai isu yang dihadapi penduduk selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Pengundi hari ini semakin matang. Mereka mahu wakil rakyat yang sentiasa ada, mudah dihubungi dan benar-benar memahami realiti kehidupan mereka.

“Alhamdulillah, penerimaan yang diterima sangat baik, namun kita tidak boleh terlalu selesa kerana baki tempoh ini amat kritikal. Setiap undi sangat bermakna dan kita akan terus bekerja sehingga tamat kempen,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon BN N.18 Pilah, S Leza Md Yasin berucap ketika kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Melang, Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 23 JULAI 2026.

Mengulas isu yang paling banyak dibangkitkan pengundi, S Leza berkata, masalah liputan telekomunikasi dan internet di kawasan luar bandar masih menjadi antara rungutan utama masyarakat.

Beliau berkata, kelemahan capaian rangkaian bukan sahaja menjejaskan urusan harian penduduk, malah memberi kesan kepada pembelajaran pelajar, urusan perniagaan digital dan peluang pekerjaan yang semakin bergantung kepada teknologi.

Selain itu, katanya, peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan ramai anak muda terpaksa berhijrah ke bandar besar untuk mencari rezeki, sedangkan Pilah mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sekiranya kemudahan asas dan ekonomi tempatan diperkasakan.

“Ramai juga berharap masalah kesesakan lalu lintas di Pekan Pilah dapat diberikan perhatian, selain lebih banyak ruang perniagaan diwujudkan untuk membantu usahawan kecil menjana pendapatan,” katanya.

Sekiranya diberikan mandat pada 1 Ogos nanti, S Leza berkata, antara keutamaan beliau ialah memperkukuh sektor pertanian melalui penubuhan Koperasi Pertanian DUN bagi meningkatkan rantaian nilai hasil tani serta membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk.

Beliau turut merancang memperkemaskan jaringan kebajikan melalui penubuhan Skuad Peduli Urusan Kesihatan, penyediaan ambulans DUN serta memperluaskan bantuan bersasar kepada golongan memerlukan, khususnya warga emas.

Pada masa sama, beliau mahu memperkasakan ekonomi wanita menerusi program pembangunan usahawan, latihan kemahiran, pemudahcaraan pelesenan serta pemasaran digital supaya lebih ramai suri rumah dan usahawan kecil mampu menjana pendapatan secara mampan.

Menyentuh penghijrahan golongan muda, S Leza berkata, Pilah perlu bergerak seiring perkembangan ekonomi digital dengan menyediakan prasarana internet yang lebih baik, ruang kerja bersama, latihan TVET serta sokongan kepada keusahawanan belia.

Beliau berkata, langkah itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti di daerah berkenaan sekali gus membolehkan anak muda kembali membina kerjaya dan menyumbang kepada pembangunan kampung halaman.

Mengakhiri kempen, S Leza menyeru pengundi Pilah supaya membuat pilihan berdasarkan keupayaan calon untuk bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Undi yang diberikan bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju Pilah untuk lima tahun akan datang. Saya menawarkan kepimpinan yang berteraskan tindakan, telus dan bertanggungjawab, bukan sekadar janji.

“Saya berharap pengundi memberikan peluang kepada BN untuk bersama-sama membangunkan Pilah menjadi daerah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera,” katany lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast