SEREMBAN – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom menjelaskan struktur operasi Lembaga Tabung Haji (TH) berbeza daripada institusi perbankan sekali gus menjawab persoalan berkaitan keperluan penyimpanan rizab yang pernah dibangkitkan sebelum ini.
Beliau berkata, TH tidak boleh dibandingkan secara terus dengan bank komersial kerana fungsi dan model operasinya adalah berbeza khususnya kerana institusi berkenaan tidak menjalankan aktiviti pemberian pinjaman kepada pelanggan.
Menurutnya, perbezaan tersebut perlu difahami bagi mengelak masyarakat membuat perbandingan yang tidak tepat berkaitan pengurusan kewangan TH.
“TH bukan bank. Bank perlu menyimpan rizab kerana mereka memberi pinjaman kepada pelanggan seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan pelbagai bentuk pembiayaan lain.
“Tetapi TH tidak mempunyai pinjaman seperti itu. Kalau mahu membuat pinjaman pun, ia melalui institusi perbankan Islam berkaitan bukan melalui operasi utama TH,” katanya kepada pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jamil Khir berkata demikian ketika mengulas isu teguran Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kedudukan rizab TH antara 2014 dan 2015 yang kembali menjadi perhatian selepas pendedahan Laporan RCI TH berkenaan.
Menurut Jamil Khir, teguran daripada BNM ketika itu telah dijawab oleh pihak pengurusan TH secara profesional selepas beliau menerima surat berkaitan perkara tersebut daripada pihak berkenaan.
“Saya menerima surat daripada BNM ketika itu dan saya juga memanggil Ketua Pegawai Eksekutif TH untuk mendapatkan penjelasan.
“Penjelasan diberikan mengapa TH tidak menyimpan rizab dalam bentuk seperti yang diamalkan oleh bank,” katanya.
Beliau berkata, walaupun dari sudut perundangan TH bukan berada di bawah bidang kuasa kawal selia BNM seperti institusi perbankan atau syarikat insurans, pihak pengurusan tetap mengambil serius setiap teguran yang diberikan.
“Saya pesan kepada pengurusan supaya menjawab dengan penuh hikmah.
“Walaupun mungkin ada perkara yang bukan berada di bawah tanggungjawab langsung BNM, kita tetap perlu memberikan penjelasan yang baik kerana ia melibatkan keyakinan rakyat terhadap TH,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, keputusan untuk mengagihkan hibah kepada pendeposit juga dibuat berdasarkan pertimbangan pengurusan ketika itu kerana keuntungan yang diperoleh adalah daripada hasil pelaburan TH.
“Kita melihat keuntungan yang diperoleh itu dikembalikan kepada pendeposit melalui hibah. Ia bukan diberikan kepada mana-mana individu atau pihak tertentu tetapi kepada pendeposit yang menyimpan wang mereka di TH,” katanya.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, masyarakat perlu memahami bahawa TH mempunyai model tersendiri yang berasaskan kepada pengurusan simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji serta pelaburan patuh syariah.
Katanya, pelaburan TH juga mempunyai batas tertentu kerana perlu mematuhi prinsip syariah sekali gus tidak boleh dibandingkan dengan semua jenis pelaburan konvensional.
“TH mempunyai batas pelaburan kerana kita terikat dengan pematuhan syariah. Kita tidak boleh melabur sesuka hati dalam semua kaunter atau aset yang tidak memenuhi syarat syariah,” katanya.
Katanya lagi, sebarang penilaian terhadap prestasi TH perlu mengambil kira keseluruhan konteks termasuk fungsi asal institusi itu, struktur undang-undang, proses audit serta tanggungjawab kepada pendeposit.
“Saya berharap isu berkaitan rizab dan hibah tidak dilihat secara terpisah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap TH.
“Perbincangan mengenai institusi tersebut perlu dibuat berdasarkan fakta kewangan dan kerangka operasi sebenar, bukannya semata-mata berdasarkan perbandingan dengan institusi lain yang mempunyai fungsi berbeza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















