Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Telok Kemang, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru pengundi muda serta pengundi kali pertama membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, kumpulan pengundi itu perlu memikirkan keputusan mereka pada Sabtu ini, bakal menentukan apa yang akan dinikmati dan diperoleh mereka sepanjang lima tahun akan datang.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, kumpulan pengundi muda itu kini mungkin merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) atau yang bekerja di perantauan yang mengharapkan untuk pulang berbakti di negeri sendiri.

“Sebab itu saya katakan PRN kali ini adalah peluang yang terbaik buat mereka untuk memilih kepimpinan negeri dengan hati yang terbuka dan bersandarkan maklumat sahih khususnya berkenaan rekod cemerlang kerajaan negeri ketika di bawah Pakatan Harapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, pengundi muda yang kumpulan majoriti pengundi bakal memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan parti bertanding.

Daripada keseluruhan 889,490 pengundi, seramai 194,014 pengundi iaitu jumlah terbesar merupakan pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Sementara itu, kumpulan pengundi berusia 21 hingga 29 tahun pula seramai 174,184 orang, manakala pengundi berusia 40 hingga 49 tahun (163,721 orang).

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan turut mengingatkan pengundi muda supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi dalam membuat keputusan sebagai pemilih.

Menurutnya, pengundi muda perlu bijak membezakan antara fitnah dan fakta, serta tidak terikut-ikut dengan kempen yang berunsurkan kebencian, perkauman serta yang menyentuh intitusi diraja seperti dimainkan pihak tertentu untuk mendapatkan undi.

“Mereka harus melihat apa yang telah dan mahu dilakukan oleh kerajaan negeri hari ini yang mana itu bukan untuk orang lain, tapi sebenarnya untuk masa depan mereka sendiri.

“Jadi mereka harus pulang sekiranya berada di perantauan, menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan pilihlah parti yang mereka rasakan boleh membawa masa depan dan harapan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast