KUALA PILAH – Bagi Datuk Seri Bibi Sharliza Mohd. Khalid, keputusan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan alasan untuk berundur daripada medan politik.
Sebaliknya, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan itu memilih meletakkan kepentingan parti mengatasi jawatan dengan memberi tumpuan sepenuhnya membantu kemenangan Barisan Nasional (BN), khususnya calon DUN Pilah, S. Leza Md Yasin.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, beliau menerima keputusan pucuk pimpinan parti dengan hati terbuka walaupun mengakui ramai penyokong mengharapkan beliau diberi peluang untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Saya meletakkan parti dan presiden sebagai keutamaan. Mungkin dengan saya tidak bertanding, ia memudahkan calon lain untuk menang dan memudahkan penyatuan serta gerak kerja jentera.
“Sudah tentu saya sedih dan penyokong juga mempunyai perasaan yang sama. Namun saya percaya setiap keputusan dibuat demi kepentingan parti dan saya menerimanya dengan hati terbuka,” katanya kepada ketika ditemui MalaysiaGazett hari ini.

Menurut beliau, perjuangan dalam politik tidak seharusnya diukur berdasarkan jawatan semata-mata kerana masih banyak ruang untuk terus menyumbang kepada parti dan masyarakat.
“Saya masih boleh berkhidmat dalam apa juga kapasiti yang diberikan. Yang penting sekarang ialah memastikan BN memperoleh kemenangan dan terus mendapat kepercayaan rakyat,” ujar beliau.
Mengulas mengenai penyertaan wanita dalam politik, Bibi Sharliza berharap lebih ramai wanita diberikan peluang untuk menjadi calon pilihan raya dan memegang jawatan kepimpinan pada masa depan.
Katanya, wanita telah lama menjadi tulang belakang parti dan memainkan peranan besar menggerakkan jentera pilihan raya, justeru sudah tiba masanya sumbangan mereka diterjemahkan melalui peluang memimpin.
Beliau berkata, aspirasi itu juga selari dengan semangat Manifesto Wanita BN yang dilancarkan sempena PRN Negeri Sembilan, yang antaranya memberi penekanan kepada usaha memperkasa kepimpinan wanita.

Selain memperluaskan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan serta memperkukuh agenda pembangunan keluarga dan komuniti.
“Perkhidmatan wakil rakyat wanita mempunyai pendekatan yang berbeza. Sebab itu saya berharap lebih ramai wanita diberi peluang kerana mereka juga mampu membawa perubahan dan menyelesaikan masalah rakyat dengan baik,” katanya.
Mengimbas tempoh perkhidmatannya sebagai ADUN Juasseh, Bibi Sharliza berkata, antara pencapaian yang paling membanggakan ialah kejayaan memperluaskan capaian internet di kawasan luar bandar menerusi pembinaan lima pencawang telekomunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Selain itu, katanya, pelbagai projek menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya, balai raya, masjid, surau dan sistem saliran turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan penduduk.
Beliau berkata, pembangunan masyarakat juga menjadi keutamaan melalui pelaksanaan program ziarah kasih untuk warga emas serta pelbagai aktiviti melibatkan golongan belia sehingga Juasseh pernah dipilih sebagai lokasi Hari Sukan Negara peringkat Negeri Sembilan.
Menurutnya, usaha menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu beberapa kawasan di Juasseh turut menjadi antara pencapaian paling bermakna apabila kerja penyelenggaraan sungai yang tidak dilakukan selama bertahun-tahun berjaya diselesaikan.
“Sebelum ini kawasan berkenaan sering dilanda banjir kerana sungai tidak diselenggara hampir lima tahun. Selepas kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan, masalah itu berjaya diatasi dan sehingga kini keadaan jauh lebih baik.
“Itulah yang saya pegang. Walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat, khidmat kepada masyarakat dan perjuangan untuk parti tidak pernah terhenti.
”Selagi diberikan ruang, saya akan terus bekerja demi rakyat dan memastikan BN mencapai kemenangan,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















