KUALA PILAH – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil mempertahankan rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan menggesa pengundi menilai prestasi kerajaan negeri sebelum membuat keputusan.
Selain prestasi yang boleh dinilai, PH juga katanya, menawarkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk Negeri Sembilan.
“Kita tahu calon-calon seperti Datuk Noorzunita Begum banyak berbakti kepada masyarakat di DUN Pilah.
“Kita juga tahu Tok Min telah banyak membantu rakyat, termasuk menyediakan komputer riba kepada anak muda serta pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya sambil menegaskan PH bertarung atas prinsip, atas fakta dan atas prestasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Flag-Off’ Jelajah Anak Muda PH sempena hari terakhir kempen PRN Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Menurut Menteri Komunikasi itu, antara tawaran yang dibawa PH kali ini ialah memperkukuhkan kebajikan rakyat menerusi penambahbaikan beberapa inisiatif sedia ada, termasuk kepada institusi adat dan golongan warga emas.
Katanya, manifesto PH turut menawarkan perluasan Bantuan Keceriaan Warga Emas kepada golongan berusia 65 hingga 69 tahun, manakala kadar bantuan kepada penerima berusia 70 tahun ke atas akan ditingkatkan.
“Ini menunjukkan komitmen kita untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Sekiranya PH diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir, saya percaya negeri ini bukan sahaja akan terus diurus dengan lebih baik, malah manfaat kepada rakyat akan dapat dinikmati dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.
Fahmi berkata, rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin membuktikan dasar yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan prestasi yang telah dibuktikan serta tawaran yang dikemukakan kerana keputusan pada hari pengundian akan menentukan hala tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat yang diterima sepanjang tempoh kempen dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan yang tular di media sosial.
“Sentiasalah menyaring maklumat yang diterima dan membuat semakan. Nilailah berdasarkan fakta, prestasi dan rekod yang telah ditunjukkan kepada rakyat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
















