SEREMBAN – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) menggesa agar pihak berkuasa menyiasat bekas kempimpinan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) yang berkhidmat antara 2014 hingga 2017.
Mereka adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Jamil Khir Baharom; bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahim; serta bekas Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.
Pengerusinya, Mustapa Mansor berkata, siasatan itu penting susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya tindakan menyalahi proses pentadbiran biasa agensi itu.
“Kami berpandangan dapatan RCI telah memberikan asas yang mencukupi untuk pihak polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh.
“Ia bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kuasa atau sebarang kesalahan lain di bawah bidang kuasa agensi berkaitan,” katanya semasa sidang media, di sini.
Selain itu, Mustapa berkata, siasatan juga perlu diperluaskan kepada mana-mana ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi Tabung Haji yang terlibat dalam membuat atau meluluskan keputusan sepanjang tempoh 2014 hingga 2017 sebagaimana dinyatakan dalam laporan RCI.
Mustapa juga berkata, laporan RCI merupakan hasil siasatan sebuah suruhanjaya yang dianggotai individu berautoriti serta mempunyai tahap integriti tinggi, justeru kandungan laporan itu tidak seharusnya dipandang ringan atau dipolemikkan mengikut kepentingan politik.
“Kita mengkritik kenyataan beberapa pihak yang hanya menumpukan kepada ketiadaan istilah ‘sakau’ dalam laporan tersebut sehingga mengabaikan keseluruhan konteks dapatan yang dibentangkan.
Menurutnya, perdebatan mengenai sama ada sesuatu istilah digunakan atau tidak dalam laporan RCI bukan isu utama kerana apa yang lebih penting ialah sama ada terdapat perbuatan atau keputusan yang bercanggah dengan tatakelola pentadbiran, peraturan atau undang-undang.
“Kita tidak boleh menilai laporan itu hanya berdasarkan satu perkataan. Yang perlu diberi perhatian ialah keseluruhan dapatan serta sama ada wujud unsur pelanggaran proses pentadbiran, salah laku atau kesalahan yang perlu disiasat pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut mendakwa, terdapat usaha membentuk naratif yang boleh mengelirukan rakyat dengan memberi fokus kepada istilah tertentu sedangkan laporan RCI mengandungi pelbagai penemuan yang memerlukan penelitian lebih mendalam.
“Sehubungan itu, SEKPUR akan melaksanakan kempen penerangan secara agresif menerusi media sosial bagi menjelaskan kandungan laporan RCI kepada masyarakat serta menangkis apa yang disifatkannya sebagai salah tafsir terhadap dapatan suruhanjaya berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan itu akan dilaksanakan melalui pelbagai bentuk kandungan digital termasuk bahan kreatif dan lagu yang mudah difahami supaya mesej berkaitan laporan RCI dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya golongan pengguna media sosial.
“SEKPUR berharap tindakan segera agensi penguat kuasa dapat meningkatkan keyakinan rakyat bahawa setiap dapatan RCI akan diberikan perhatian sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau jawatan individu yang terlibat.
“Gesaan kami bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana individu, sebaliknya memastikan semua dapatan RCI diteliti melalui proses siasatan yang bebas, telus dan berlandaskan undang-undang demi memelihara integriti institusi negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, pada Rabu. – MalaysiaGazette
















