Keprihatinan Fahmi sedikit sebanyak memberikan sokongan moral kepada keluarga Mohd Lazin Daud hari ini.

KUALA PILAH –  Pengorbanan seorang jururawat yang tidak pernah kenal erti penat menjaga suami terlantar akibat strok sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang menziarahi keluarga itu di kediaman mereka di Taman Bukit Intan, di sini, hari ini.

Kunjungan itu memberi suntikan semangat kepada Mohd Lazin Daud, 54, bekas penolong pegawai perubatan yang kini terlantar selepas mengalami pendarahan otak susulan komplikasi tekanan darah tinggi.

Sejak kejadian itu, Mohd Lazin bukan sahaja hilang keupayaan menguruskan diri, malah bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Zainabariah Mohamed, 48, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Menurut Zainabariah, kehidupan keluarga mereka berubah sepenuhnya apabila suaminya diserang strok empat tahun lalu sehingga memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

Katanya, Mohd Lazin perlu diberi susu menerusi tiub khas setiap tiga jam selain hanya mampu memberi respons melalui pergerakan tangan dan kerdipan mata.

“Kalau saya bekerja di hospital, anak kedua kami akan mengambil alih tugas menjaga ayahnya supaya jadual pemberian susu dan penjagaan hariannya tidak terganggu.

“Setiap hari memang ada rutin yang perlu dipatuhi kerana suami memerlukan perhatian sepenuhnya,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Fahmi yang meluangkan masa bertanya khabar serta melihat sendiri keadaan Mohd Lazin.

Zainabariah berkata, antara cabaran utama yang dihadapi keluarga ialah kos penjagaan yang tinggi, terutama bagi penyediaan susu khas yang diperlukan suaminya.

“Perbelanjaan untuk susu sahaja melebihi RM1,000 sebulan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana boleh membuat tuntutan semula pembelian susu dan barangan keperluan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandangkan kami berdua merupakan penjawat awam.

“Itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Mohd Lazin menjalani rawatan susulan di hospital setiap enam bulan bagi memantau perkembangan kesihatannya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Zainabariah berkata, dia  tetap tabah meneruskan tanggungjawab menjaga suami dengan bantuan anak-anak mereka yang sentiasa bergilir-gilir membantu apabila diperlukan.

Kehadiran Fahmi yang meluangkan masa menyantuni keluarga itu turut dizahirkan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib bekas petugas kesihatan yang pernah berkhidmat kepada masyarakat.

Ini juga sebagai sokongan moral kepada ahli keluarga yang menjadi tulang belakang penjagaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast