JEMPOL – Lapan menteri Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet bersetuju supaya skop siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) diperluaskan sehingga meliputi tempoh pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dan Perikatan Nasional (PN) 1.0.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada tempoh sehingga tahun 2020 sahaja.
Menurutnya, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan sebelum ini juga telah mendapat sokongan daripada lapan menteri Barisan Nasional (BN) yang menganggotai Kabinet.
“Malah kita telah menyarankan agar jika ada individu dan tokoh yang terlibat di dalam penyelewengan atau pecah amanah ataupun melakukan penggubalan wang haram atau mana-mana kesalahan jenayah dibawa ke muka pengadilan.
“Mereka juga telah bersetuju dengan saranan kita untuk laporan ini dibentangkan di Parlimen di mana pada 11 Ogos ini pembentangan itu akan dibuat.
“Kabinet (8 Menteri BN) juga telah bersetuju agar jeda (masa antara) waktu siasatan dalam RCI ini dilanjutkan bukan hanya sekadar pada tahun 2020 tetapi hendaklah dibuat ketika kerajaan PH 1.0 dan Kerajaan Perikatan Nasional 1.0,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau, di sini, petang tadi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, persetujuan siasatan dalam isu RCI Tabung Haji itu menunjukkan satu keterbukaan yang sangat baik.
“Pada hemat saya ini sangat baik demi kepentingan negara kita harus bersama-sama,” katanya. – MalaysiaGazette
















