Datuk T Mohan

SEREMBAN – Perubahan sentimen dalam kalangan pengundi India di Negeri Sembilan sepanjang tempoh berkempen memberi keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencipta keputusan lebih baik di beberapa kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata bekas Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan.

Beliau berkata, hasil tinjauan dan kempen rumah ke rumah sejak dua minggu lalu mendapati semakin ramai pengundi India lebih terbuka menyuarakan sokongan kepada BN berbanding pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, perubahan itu menunjukkan pengundi kini membuat penilaian berdasarkan pengalaman serta isu yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka.

“Berbeza dengan sebelum ini, kali ini ramai yang berterus terang memberitahu kami mereka mahu memberikan sokongan kepada BN. Ada juga yang mengakui mereka tersilap membuat pilihan pada pilihan raya lalu.

“Perubahan itu dapat dirasai hampir setiap hari ketika kami turun bertemu pengundi dari rumah ke rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Mohan, dengan pengundi India membentuk kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan pengundi di Negeri Sembilan, sebarang perubahan sokongan mampu memberi kesan kepada beberapa kerusi yang mempunyai komposisi pengundi India yang besar.

Beliau berkata, antara kerusi yang menjadi perhatian ialah DUN Seremban Jaya dan Sri Tanjung, yang masing-masing mempunyai kira-kira 28 dan 27 peratus pengundi India serta ditandingi calon MIC mewakili BN.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima di lapangan, kedua-dua calon MIC mempunyai peluang yang baik untuk memperoleh keputusan positif sekiranya momentum sokongan itu diterjemahkan pada hari pengundian.

“Berdasarkan apa yang kami lihat sepanjang kempen, peluang itu memang ada. Jentera BN yang terdiri daripada MIC, UMNO dan MCA bekerja dengan sangat baik di peringkat akar umbi.

“Gabungan pengalaman calon serta gerak kerja berterusan memberi kelebihan kepada BN untuk mendekati pengundi,” ujarnya.

Malah, beliau berpandangan DUN Sri Tanjung berpotensi kembali menjadi milik MIC selepas lebih 18 tahun sekiranya trend sokongan semasa dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.

Mengulas isu yang paling banyak dibangkitkan pengundi, Mohan berkata, kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama, khususnya kesan kenaikan harga diesel yang didakwa meningkatkan kos pengangkutan dan akhirnya memberi kesan kepada harga barangan.

Selain itu, katanya, komuniti India turut menyuarakan rasa kecewa terhadap beberapa isu kebajikan termasuk dakwaan terdapat penerima yang tidak lagi memperoleh bantuan tanpa penjelasan yang jelas.

Beliau berkata, golongan peniaga mikro juga berharap kerajaan meneliti semula syarat kelayakan skim bantuan kerana terdapat peniaga kecil yang mendakwa tidak lagi layak menerima bantuan selepas mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ramai peniaga kecil mahu berniaga secara sah, tetapi mereka merasakan apabila sudah berdaftar, peluang untuk mendapatkan bantuan semakin sukar.

“Perkara seperti ini perlu dikaji semula supaya dasar yang diwujudkan benar-benar membantu golongan yang mahu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya lagi.

Pada masa sama, Mohan berkata, BN tidak boleh berasa terlalu yakin meskipun menerima maklum balas positif di lapangan kerana tumpuan kini adalah memastikan setiap penyokong keluar mengundi.

“Momentum yang kami lihat amat menggalakkan, tetapi akhirnya keputusan ditentukan pada hari pengundian.

“Sebab itu jentera akan terus bekerja sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan setiap undi dapat diterjemahkan kepada kemenangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast