KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim menyerahkan perjuangannya dalam mempertahankan mandat di kawasan itu sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi.
Selepas hampir dua minggu turun padang menyantuni penduduk di kampung, taman perumahan, premis perniagaan dan lokasi tumpuan awam, penyandang kerusi DUN Pilah itu menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera yang bekerja tanpa mengenal penat sepanjang kempen berlangsung.
Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan jentera parti menjadi tulang belakang kepada usaha menyampaikan mesej kesinambungan pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Alhamdulillah, hari ini adalah hari terakhir saya berkempen bagi PRN kali ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang tetap bersama sehingga hari ini,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Noorzunita merayu pengundi berdaftar di DUN Pilah, khususnya mereka yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi esok.
“Jangan lupa balik mengundi. Undilah calon nombor dua Pakatan Harapan.
Sepanjang kempen, Noorzunita konsisten mengetengahkan rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi setempat.
Selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda, pelbagai inisiatif kebajikan untuk warga emas, keluarga berpendapatan rendah dan belia juga diketengahkan.
Kerusi DUN Pilah menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Noorzunita dan calon Barisan Nasional (BN), S. Leza Md Yasin.
Esok, hampir 18,000 pengundi berdaftar akan menentukan sama ada PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Pilah atau BN kembali merampasnya dalam satu daripada persaingan yang dijangka menjadi tumpuan di Kuala Pilah. – MalaysiaGazette
















