Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan selepas menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengakui kelompok pengundi atas pagar bakal menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), justeru usaha mendekati golongan itu dipertingkatkan sepanjang baki tempoh kempen.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pendekatan yang diambil ialah dengan mempergiat penyampaian maklumat mengenai rekod pencapaian kerajaan negeri menerusi media sosial dan media arus perdana.

Menurut beliau, rakyat perlu diberikan gambaran jelas mengenai prestasi pentadbiran PH supaya mereka dapat membuat penilaian berdasarkan fakta dan pencapaian sepanjang tempoh mentadbir negeri.

“Kita kena sampaikan maklumat kepada mereka melalui media sosial dan media sedia ada. Setiap kali turun padang, kita ceritakan prestasi kita dan ‘report card’ kerajaan supaya mereka boleh menilai sendiri apa yang telah kita lakukan untuk masyarakat,” katanya pada sidang media selepas berucap pada program Malam Pengisian Jiwa di DUN Labu, malam ini.

Hadir sama calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.

Mengulas momentum kempen menjelang hari pengundian, Aminuddin berkata, PH melihat sokongan terhadap gabungan itu berada pada tahap yang positif, namun keputusan akhir bergantung kepada kehadiran pengundi yang pulang mengundi.

“Alhamdulillah, momentum nampak baik. Sekarang kita menunggu pengundi yang berada di luar kawasan pulang.

“Insya-Allah mereka akan menjadi penentu kerana sokongan keluarga di setiap kawasan sangat penting dalam menentukan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin menyifatkan calon PH di DUN Labu, Ahmad Faez sebagai individu yang layak diberi mandat berdasarkan rekod khidmatnya kepada masyarakat sejak hampir tiga tahun lalu.

Beliau berkata, calon berkenaan menjalankan tanggungjawab sebagai penyelaras DUN tanpa mengharapkan gaji atau elaun, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

“Saya sudah beberapa kali buat semakan sendiri terhadap kerja yang dilakukan. Saya dapati dia benar-benar bersedia dan memahami setiap isu di kawasan. Itu yang memberi keyakinan kepada saya,” katanya.

Aminuddin berkata, PH menawarkan satu pasukan yang bersedia bekerja untuk rakyat, bukannya mengejar jawatan atau kuasa, dan berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah dibuktikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast