KUALA LUMPUR – Sebarang usaha menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar hanya boleh dilaksanakan selepas wujud jaminan keselamatan yang jelas, pengiktirafan hak kewarganegaraan serta proses pemulangan dibuat secara sukarela dan bermaruah.
Pengerusi Alkhair Malaysia, Azfar Abdullah berkata, komuniti Rohingya tidak menolak untuk kembali ke tanah air mereka, namun situasi semasa di Myanmar masih belum menjamin keselamatan serta perlindungan hak asasi golongan berkenaan.
Menurut beliau, sebarang proses penghantaran pulang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau secara paksa kerana ia perlu mematuhi prinsip kemanusiaan antarabangsa.
“Usaha ini perlu dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Myanmar, komuniti antarabangsa dan agensi berkaitan seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan hak dan keselamatan pelarian terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azfar turut menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar supaya mewujudkan persekitaran yang selamat, menghentikan diskriminasi dan mengiktiraf hak kewarganegaraan etnik Rohingya sebelum sebarang proses pemulangan dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau meminta kerajaan memperjelaskan kepada rakyat mengenai dasar dan mekanisme berkaitan isu pelarian bagi mengelakkan salah faham serta sentimen kebencian yang semakin meningkat.
Katanya, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu pelarian demi kepentingan tertentu.
“Pendekatan yang seimbang dan berteraskan kemanusiaan amat penting bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dicapai tanpa mengabaikan hak serta maruah pelarian Rohingya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















