JEMPOL– Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mustafa Nagoor, mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong buat penggal ketiga berturut-turut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Beliau menang bergaya dalam saingan tiga penjuru selepas memperoleh 15,197 undi, sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zahin Zinal @ Bong yang meraih 1,495 undi, serta calon BERSATU, Rebin Birham yang memperoleh 590 undi.
Mustafa mencatatkan majoriti 13,702 undi, peningkatan drastik berbanding majoriti 564 undi yang diperoleh pada PRN 2023.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya Jempol, Amino Agus Suyyub di Dewan Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol, hari ini.
Kemenangan itu turut mengukuhkan lagi status DUN Palong sebagai kubu tradisi BN, yang tidak pernah bertukar tangan sejak kerusi berkenaan diwujudkan dan mula dipertandingkan pada tahun 1986.
Mustafa sebelum ini memenangi kerusi Palong pada PRU 2018 sebelum mempertahankannya pada PRN 2023.
Kemenangan kali ini mengekalkan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong.
Keputusan tersebut juga menunjukkan sokongan pengundi di Palong kembali memihak kepada BN, khususnya di kawasan-kawasan Felda di Palong. – MalaysiaGazette
















