SEREMBAN – Semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi menyaksikan orang ramai sanggup keluar seawal pukul 5 pagi bagi memastikan mereka menjadi antara individu terawal mengundi di Pusat Mengundi N.13 Sikamat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, hari ini.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati sebahagian besar pengundi mula tiba di pusat mengundi seawal pukul 7 pagi sebelum beratur menunggu pintu pusat mengundi dibuka tepat pukul 8 pagi.

Seorang pengundi, See Ping Yen, 52, berkata dia keluar dari rumah kira-kira pukul 6.40 pagi kerana mahu menjadi antara pengundi terawal selain mengelakkan kesesakan yang lazimnya berlaku pada waktu kemuncak.
Katanya, menjadi antara individu terawal mengundi sudah menjadi rutin setiap kali pilihan raya kerana lebih mudah untuk menguruskan komitmen keluarga dan pekerjaan selepas selesai mengundi.
“Saya memang setiap kali datang awal. Lepas mengundi saya boleh balik awal, jaga anak dan uruskan kerja.
“Saya memang seronok datang mengundi. Ini tanggungjawab sebagai rakyat dan saya rasa pilihan raya kali ini juga agak meriah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar, di sini, pagi ini.

Bagi seorang lagi pengundi, Kahar Zainuddin, 59, beliau sanggup memandu dari Kuala Lumpur seawal pukul 5 pagi semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Sikamat.
Menurutnya, perjalanan dari ibu negara berjalan lancar dan beliau sempat menunaikan solat Subuh di Sikamat sebelum menuju ke pusat mengundi.
“Saya keluar dari Kuala Lumpur lebih kurang pukul 5 pagi. Jalan memang lancar dan saya sampai di sini sekitar pukul 6 pagi.
“Saya memang suka datang awal supaya selepas mengundi saya ada banyak masa untuk urusan lain. Lepas ini saya akan terus balik kampung di Gemas sebelum kembali ke Kuala Lumpur esok,” katanya.
Kahar tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sejak layak mengundi walaupun tidak lagi mengingati sudah berapa kali beliau menyertai proses pilihan raya.
“Saya tak pernah terlepas mengundi. Setiap kali pilihan raya saya akan datang mengundi kerana ini tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya.
Suasana di pusat mengundi IPG Kampus Raja Melewar mula dipenuhi pengundi seawal pagi dengan majoritinya terdiri daripada warga emas dan mereka yang mahu mengelakkan kesesakan selain menyelesaikan urusan pengundian pada awal waktu.
Kerusi DUN Sikamat menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan parti penyandang daripada Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Setiauaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad berdepan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah.
Proses pengundian berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan SPR menjangkakan kehadiran pengundi akan terus meningkat sepanjang hari. – MalaysiaGazette
















