JOHOR BAHRU – Tular video perbualan antara pemandu dan penumpang e-hailing yang didakwa menghina al-Quran dan Islam semasa dalam kenderaan di bandar raya ini.
Menerusi video berdurasi dua minit 20 saat itu, kedengaran suara lelaki dipercayai penumpang e-hailing yang mengatakan bahaya membaca dan mempelajari al-Quran kerana mengajar soal pembunuhan.
“Yes, kalau kau baca al-Quran tu semua, kalau betul-betul al-Quran tu, kalau kau belajar, it’s very dangerous. Book of killing. Kerja dia asyik membunuh, membunuh, membunuh, takda kasih sayang, ini semua bohong punya, aku tak percaya,” katanya.
Seorang lagi lelaki dipercayai pemandu e-hailing pula kedengaran membidas kenyataan penumpang itu dan memintanya berhati-hati ketika berbicara.
“Cakap hati-hati bang. Saya agama Islam, abang bercakap hati-hati bang. Cara abang cakap ni anytime saya boleh kick abang, saya cakap betul. Agama saya Islam, bang. Kalau abang dah keluar Islam, jangan hina agama saya. Agama saya jangan buat main.
“Nabi saya bermati-matian naikkan agama Islam, jangan sesekali hina agama Islam. Jangan main-main dengan agama aku. Kau nak murtad, kau murtad sorang,” katanya.
Turut kedengaran penumpang e-hailing itu kemudian meminta maaf sebelum dipercayai turun dari kenderaan itu selepas pemandu e-hailing berhenti di tepi jalan.
Video berkenaan tular dalam media sosial dan laporan polis turut dibuat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei mengesahkan menerima laporan berhubung hantaran media sosial berkenaan pukul 3.25 petang semalam.
Beliau memberitahu, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis selepas ternampak hantaran video dalam Facebook itu pukul 2.30 petang, hari yang sama.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 5.55 petang di kawasan bandar raya ini kelmarin. Hantaran berkenaan telah mendatangkan rasa tidak puas hati kepada pengadu kerana didapati menyentuh sensitiviti serta memburukkan agama Islam.
“Berdasarkan rakaman paparan papan pemuka (dashcam), berlaku perbualan di antara seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing dengan seorang lelaki disyaki penumpang yang mendakwa serta mengeluarkan kenyataan mengenai al-Quran dan menghina agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu pihak polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing berkenaan bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular tersebut.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan polis kemudian mengenal pasti suspek atau penumpang kenderaan terbabit.
Azrul Hisham berkata, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang seperti Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- MalaysiaGazette
















