KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji semula prosedur pengurusan haiwan terbiar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani isu kekejaman terhadap haiwan susulan kematian seekor anjing terbiar bernama Rocky di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan itu akan melibatkan aspek latihan, prosedur serta kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pihak berkepentingan bagi memastikan operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berperikemanusiaan.
Tambahnya, keselamatan awam dan kebajikan haiwan merupakan dua tanggung jawab yang perlu dipelihara secara seimbang.
Sehubungan itu, setiap operasi penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara profesional, berhemah serta mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kerajaan Negeri Selangor mengambil maklum bahawa Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat perkara itu secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Sehubungan itu, kami memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional, serta menggesa semua pihak menghormati proses siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi.”
Ng berkata, Kerajaan Negeri Selangor turut menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang mengakibatkan kematian seekor anjing ketika operasi menangkap anjing terbiar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Tambahnya, kerajaan negeri turut menjunjung titah dan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor yang menegaskan bahawa sifat ihsan terhadap haiwan serta prinsip bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang hendaklah sentiasa dijunjung oleh semua pihak.
“Nilai-nilai ini akan terus menjadi asas kepada setiap dasar dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor.
“Kami kekal komited untuk memastikan keselamatan awam terus terpelihara, di samping memperkukuh amalan kebajikan haiwan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan profesionalisme institusi kerajaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
- https://malaysiagazette.com/2026/08/01/tragedi-rocky-ahli-majlis-mbpj-desak-pbt-reformasi-sop-tangkap-anjing/
- https://malaysiagazette.com/2026/08/01/tiada-kompromi-terhadap-kekejaman-haiwan-titah-tengku-permaisuri-selangor/
















