KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memperlihatkan sokongan pengundi Cina terhadap parti DAP masih menjadi faktor utama yang mempertahankan kekuatan parti itu, walaupun Pakatan Harapan (PH) mengalami kemerosotan prestasi keseluruhan.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, berdasarkan keputusan PRN berkenaan, PH hanya memenangi 11 kerusi berbanding manakala Barisan Nasional memperoleh 18 kerusi dan Perikatan Nasional menang tujuh kerusi.
Daripada 11 kerusi yang dimenangi PH, sembilan daripadanya merupakan kerusi yang ditandingi DAP, sekali gus berjaya mempertahankan sebahagian besar kawasan tradisinya walaupun berdepan perubahan landskap politik negeri.
DAP bertanding di 11 kerusi dan mengekalkan sembilan kerusi, termasuk kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Cina yang tinggi seperti Lobak, Mambau, Bukit Kepayang, Seremban Jaya, Lukut, Rahang, Temiang, Nilai dan Bahau.
Keputusan itu, katanya, menunjukkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP masih kukuh, justeru menolak anggapan bahawa keseluruhan pengundi Cina telah meninggalkan parti berkenaan.
Namun, Lian Ker menambah, keputusan tersebut turut memberi gambaran bahawa kekuatan DAP kini lebih tertumpu kepada kawasan tertentu, manakala cabaran terbesar PH adalah mendapatkan sokongan pengundi Melayu.
“Kekalahan PH dikaitkan oleh sebahagian pihak dengan kegagalan menarik sokongan Melayu, selain isu persepsi politik yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya.
Dalam masa sama, kerjasama politik antara BN, PN dan parti lain menerusi strategi seperti “Langkah Bangkok” dilihat berjaya mengubah semula dinamik persaingan dengan membangkitkan sentimen politik berasaskan identiti dalam kalangan sebahagian pengundi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau lagi, kkalahan tokoh DAP seperti Anthony Loke di Chennah turut menjadi perhatian, namun ia tidak semestinya menggambarkan perubahan menyeluruh sokongan pengundi Cina terhadap DAP.
Sebaliknya, keputusan sembilan daripada 11 kerusi DAP yang berjaya dipertahankan menunjukkan asas sokongan parti itu dalam kalangan pengundi Cina masih wujud.
Pada masa sama, keputusan PRN Negeri Sembilan turut memberi isyarat bahawa DAP tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada undi tradisionalnya, manakala PH perlu memperkukuhkan sokongan Melayu jika mahu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Lian Ker berkata, secara keseluruhannya, keputusan PRN Negeri Sembilan menggambarkan keadaan politik yang lebih kompleks iaitu sokongan Cina terhadap DAP masih kuat, tetapi kekuatan itu belum mencukupi untuk menjamin kemenangan PH tanpa sokongan lebih besar daripada pengundi Melayu.
“Walaupun DAP masih memiliki sokongan teras pengundi Cina, tetapi cabaran terbesar PH kini ialah membina keyakinan dalam kalangan pengundi Melayu untuk kembali menjadi gabungan yang mampu menguasai kerajaan negeri.
“Dan inilah sebabnya PH boleh mengekalkan 9 kerusi DAP tetapi pada masa yang sama kehilangan kuasa kerajaan negeri kepada BN-PN dengan majoriti dua pertiga,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















