KUANTAN – Dua remaja lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan mencederakan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di sekitar Kampung Darat Beserah di sini pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan pukul 7 malam keesokan harinya di hadapan sebuah rumah di Lorong Pelindung Damai di sini bagi membantu siasatan.
“Semakan rekod mendapati, salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta masih dikehendaki bagi satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi suspek tidak mempunya rekod jenayah lampau.
“Polis memandang serius kejadian jenayah melibatkan golongan rentan khususnya OKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan di mana kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman sehingga kertas siasatan dilengkapkan.
Terdahulu, satu klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memapatkan tindakan dua remaja itu tular di media sosial sehingga mengundang kecaman orang ramai. – MalaysiaGazette
















