KUALA LUMPUR – Genting Malaysia Berhad (GENM) mengumumkan pembukaan permohonan bagi Anugerah Biasiswa Genting Malaysia 2026 yang menawarkan peluang kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.
Tawaran itu menerusi program biasiswa komprehensif yang merangkumi pembiayaan pendidikan serta peluang latihan industri.
Penerima Anugerah Biasiswa Genting Malaysia akan menerima pembiayaan penuh bagi pengajian ijazah sarjana muda mereka, selain berpeluang menjalani latihan industri yang menawarkan pendedahan kepada dunia pekerjaan serta pengalaman praktikal dalam persekitaran korporat.
“Program ini direka untuk memperkasa para penerima biasiswa dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman industri yang relevan, sekali gus membantu mereka membina asas yang kukuh untuk mencapai kecemerlangan dalam kerjaya pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang yang selaras dengan keperluan industri terutamanya dalam bidang Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Seni Kulinari, Sains Taman dan Rekreasi, Kewangan, Perakaunan, Sains Aktuari, Matematik, Analitik Data, Ekonomi, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Kecerdasan Buatan (AI), Perniagaan, Pemasaran, Undang-Undang, Sumber Manusia dan Psikologi.
Bagi melayakkan diri, pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 23 tahun ke bawah yang sedang menunggu tawaran kemasukan ke program ijazah sarjana muda sepenuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.
Selain memenuhi syarat akademik yang ditetapkan, pemohon juga perlu menunjukkan potensi kepimpinan melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum, berasal daripada isi rumah dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM10,000 serta tidak menerima sebarang biasiswa atau pinjaman pendidikan lain.
Permohonan akan ditutup pada 15 Ogos 2026.
Untuk maklumat lanjut dan permononan, sila layari www.rwgenting.com/GENMscholarship. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette
















