Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyerahkan cek sumbangan kepada ahli-ahli persatuan tokong pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) di Kompleks Japerun Duyong, Melaka. Foto SADIQ SANI, 02 OGOS 2026.

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memberi bayangan pilihan raya negeri (PRN) ini mungkin diadakan selepas September ini apabila menyuarakan harapan agar gelombang biru yang kini melanda Negeri Sembilan akan beralih ke Melaka.

Bayangan itu disuarakan beliau ketika mengakhiri siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat edisi ke-22 apabila turut melahirkan harapan untuk menyaksikan Melaka kembali “dibirukan” pada pilihan raya

“Saya dah jelajah ke sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN). Insya-Allah menjelang hujung minggu ini saya akan selesai 12 (DUN Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat. Kita tak banyak ada (siri), kalau campur tolak, kita ada 22 (DUN)

“Jadi habis 22 (DUN) tu esok kita sama-samalah birukan dulu negeri Melaka ini.

“Kita nak tengok sekarang satu titik pertemuan yang akan menjadi manifestasi rakyat Melaka terjemahkan bila kita tengok Negeri Sembilan telah berjaya dibirukan,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka.

Ahli-ahli persatuan tokong yang hadir pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) di Kompleks Japerun Duyong, Melaka. Foto SADIQ SANI, 02 OGOS 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) DUN Duyong di Madrasah Helyatil Awliya Addiniah Al-Arabiyah, Kampung Jambatan Duyong, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga ADUN Duyong.

Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang ke-22 dijadualkan berakhir di DUN Tanjung Bidara yang diwakili Ab Rauf pada 18 September ini, sekali gus menguatkan lagi andaian bahawa pentas jelajah berkenaan menjadi medan terakhir sebelum gelanggang PRN dibuka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) di Kompleks Japerun Duyong, Melaka. Foto SADIQ SANI, 02 OGOS 2026.

Ab Rauf berkata, siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan bertujuan membuat janji baharu, sebaliknya menyusuli Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi memastikan setiap aduan, cadangan dan pandangan yang dikemukakan penduduk diterjemahkan kepada tindakan.

“Kita terima semua pandangan, cadangan dan aduan yang diberikan rakyat, kemudian kita susuli dengan Program Ketua Menteri Sayang Rakyat.

“Maksudnya kita datang untuk menyantuni rakyat dengan penuh kasih sayang, tanpa tujuan lain selain memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan yang kita pimpin.

“Kita tidak melihat fahaman politik atau kaum. Sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain, kita merentasi sempadan perkauman dan sempadan politik kerana kepimpinan kerajaan adalah untuk semua rakyat di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast