Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan (kiri) dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi (tengah) ketika Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre hari ini.

KUANTAN – Pahang merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi di Pantai Timur iaitu sebanyak 65.3 peratus dengan kadar pengangguran kekal rendah pada paras 1.9 peratus.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, ia membuktikan petumbuhan ekonomi negeri yang terus kukuh didorong perkembangan sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan perlombongan.

Katanya, pasaran kerjaya bukan lagi menjadi cabaran, tetapi sejauh mana peluang itu dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Matlamat itu diperkasa menerusi Portal MYFutureJobs yang berfungsi sebagai ekosistem pekerjaan nasional bagi menghubungkan rakyat, majikan dan kerajaan secara lebih pintar, inklusif dan berkesan.

“Yang paling penting sekali juga, kita mahu pastikan MYFutureJobs ini bukan setakat memberikan peluang pekerjaan, tetapi juga kita memberikan latihan-latihan yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang, Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma Sutekno Ahmad Belon serta Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Dalam program itu juga, Khairul Akhbar turut menyempurnakan pelancaran Sahabat Madani bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi iaitu inisiatif kerajaan untuk belia Malaysia.

Sementara itu, Khairul Akhbar memberitahu, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan melibatkan 30 majikan daripada pelbagai industri disediakan kepada pengunjung yang mencari pekerjaan menerusi karnival berkenaan.

“Tidak ada banyak negara-negara di luar sana yang menyediakan peluang sebegini.

“Ini adalah salah satu tindakan lapangan ataupun gerakan lapangan untuk kita pastikan tidak ada pengangguran yang begitu ketara berlaku di negara kita, khususnya di negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2023 hingga 24 Julai 2026, seramai 26,877 pencari kerja di Pahang berjaya memperoleh pekerjaan menerusi platform MYFutureJobs hasil pelbagai inisiatif pasaran buruh yang dilaksanakan Perkeso.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Sahabat Madani pula, Ahmad Farhan berkata, ia merupakan inisiatif bagi memperkukuh semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.

Menurutnya, gerakan komuniti itu bertujuan menyampaikan aspirasi kerajaan MADANI selain mengenal pasti keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Dalam masa sama, kita mahu membudayakan semangat saling membantu, menyantuni mereka yang memerlukan, meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memperkukuhkan perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, sasaran penyertaan 2,000 orang Sahabat Madani Negeri Pahang berjaya dicapai, namun usaha menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai gerakan berkenaan akan diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast